Peruntukan RM20 juta beli pam air sudah lama diluluskan

Peruntukan RM20 juta beli pam air sudah lama diluluskan


KOTA BHARU: Peruntukan untuk membeli pam air bernilai RM20 juta untuk kegunaan pesawah di Kelantan yang diumumkan pada Mei lalu sudah lama diluluskan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan projek mengambil masa berikutan timbul beberapa masalah membabitkan proses kelulusan tanah dari kerajaan negeri bagi membina laluan tanah bagi membolehkan pam baharu beroperasi.

Menurut beliau, selain itu kemarau yang menyebabkan paras air Sungai Kelantan menjadi rendah menyebabkan pam air yang sedia ada tidak sampai kepada permukaan air untuk disalurkan ke kawasan sawah.

“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) sudah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, Kerajaan Kelantan setuju meluluskan projek laluan tanah (di Sungai Kelantan). Jadi, saya berharap ia dapat disegerakan memandangkan ia digunakan oleh pesawah dan pekebun sayur,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Peniaga Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Persatuan Pesawah-pesawah Kelantan (PESAK) menuntut janji peruntukan RM20 juta oleh Perdana Menteri dipercepatkan bagi membantu menyelesaikan masalah pengairan sawah padi membabitkan lebih 7,000 petani di negeri ini.

Pengerusinya, Zuha Ismail dilaporkan berkata, peruntukan itu diumumkan pada Mei lalu bagi pembelian 20 unit pam air yang perlu diselesaikan sebelum bermulanya penanaman padi bagi musim kedua Oktober ini.

Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, masalah itu dianggap selesai selepas kerajaan negeri sudah menyatakan kelulusan pada 18 September lalu untuk projek laluan tanah.

Katanya, beliau percaya pelaksanaan projek tersebut akan disegarakan. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top