Selangor teguh di belakang Pan-gon

Selangor teguh di belakang Pan-gon

Selangor teguh di belakang Pan-gon


JOHAN KAMAL

 

GERGASI Liga Super, Selangor FC terus meletakkan kepercayaan penuh kepada pengendali, Kim Pan-gon meskipun The Red Giants bakal berdepan pengurangan belanjawan susulan kegagalan beraksi di pentas Asia musim depan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pengendali kelahiran Korea Selatan itu telah membina asas kukuh sepanjang lima bulan pertama bersama Gergasi Lembah Klang berkenaan.

 

Menurutnya, pihak pengurusan berpuas hati dengan kemampuan Pan-gon menyesuaikan diri dengan budaya kelab, liga tempatan serta corak permainan pasukan.

 

“Beliau juga telah mewujudkan satu asas yang baik sepanjang bertugas bagi membawa pasukan ke peringkat lebih tinggi menerusi pelbagai perancangan masa depan yang mendapat sokongan penuh pengurusan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Red Giants FC Sdn Bhd dan WTM Media di Shah Alam.

 

Dalam perkembangan sama, Johan mengesahkan belanjawan keseluruhan kelab akan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada RM20 juta dengan fokus sepenuhnya terarah kepada saingan domestik.

 

Bagaimanapun katanya, pengurangan itu tidak akan menjejaskan kekuatan skuad secara drastik termasuk kemungkinan menilai semula kuota pemain import mengikut keperluan semasa.

 

“Semua pilihan pemain adalah 100 peratus di bawah kendalian Pan-gon dan pengurusan hanya bantu dari sudut perancangan serta urusan kontrak pemain,” katanya.

 

Mengenai dua tonggak import Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abdulnadi, Johan berkata pihak kelab masih menilai situasi semasa kedua-dua pemain itu yang kini bersama skuad kebangsaan Jordan bagi kempen kelayakan Piala Dunia FIFA 2026.

 

Menurutnya, nilai pasaran kedua-dua pemain berpotensi meningkat sekiranya mereka berjaya mencuri perhatian di pentas antarabangsa.

 

“Apabila seseorang pemain beraksi di Piala Dunia, nilai pasaran mereka pasti meningkat kerana lebih ramai pasukan dan jurulatih akan memerhati,” katanya. – Bernama

 

Artikel Disyorkan



Source link

OR

Scroll to Top