Pesaka congak strategi ampuh

Pesaka congak strategi ampuh


Silat antara sukan cemerlang bagi tahun 2024. Gambar kecil: Bibi Aishah. Foto Pesaka Malaysia

SKUAD silat negara enggan duduk diam apabila mula mencongak strategi bagi musim baharu ini dengan menjadikan Kejohanan Asia dan Sukan SEA Thailand 2025 sebagai pentas untuk melakar lebih banyak kejayaan buat negara.

Musim 2024 ditutup dengan cemerlang apabila kem senior dan remaja membanggakan negara pada Kejohanan Pencak Silat Dunia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Disember lalu.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata, persiapan lebih rapi akan dibuat pada tahun ini bagi memastikan para pesilat berada pada tahap terbaik.

Malah beliau berkata, mereka juga akan didedahkan dengan latihan di luar negara dalam usaha untuk mendapatkan lawan yang lebih kompetitif.

“Sasaran 2025 sudah pasti Sukan SEA di Thailand dan Kejohanan Asia di Jeddah. Skuad silat akan membuat persiapan lebih teratur bagi memastikan latihan atlet negara berjalan dengan baik.

“Ia akan bermula dengan kem motivasi pada Februari dan latihan di luar negara dijadualkan pada Mei,” katanya kepada Sukan Sinar.

Kejohanan Pencak Silat Dunia di UAE bulan lalu menyaksikan kem senior membawa pulang enam emas, sembilan perak dan empat gangsa.

Pesilat muda juga cemerlang apabila meraih lima emas dan masing-masing empat perak serta gangsa pada Kejohanan Silat Remaja Dunia yang berlangsung di venue sama.

Di sebalik kejayaan itu, Bibi Aishah enggan para pesilat negara berasa cepat berpuas hati, sebaliknya perlu jadikan ia sebagai penyuntik semangat untuk terus bekerja keras bagi mencapai lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

“Pada Kejohanan Asia kita sasar tujuh emas, manakala Sukan SEA Thailand dua emas kerana kategori yang dipertandingkan tidak banyak,” katanya.

Sukan SEA Thailand dijadual berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla bermula 7 hingga 19 Disember depan.



Source link

OR

Scroll to Top