PETRONAS bantu memperkasa wanita Orang Asli Berasau di Kluang

PETRONAS bantu memperkasa wanita Orang Asli Berasau di Kluang


Kluang: Kehidupan masyarakat Orang Asli Jakun di Kampung Berasau di pedalaman daerah Kluang, sangat berkait rapat dengan alam sekitar dan masih berpegang teguh kepada adat dan pantang larang.

Mengekalkan cara hidup turun temurun, adalah menjadi tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga mencari rezeki manakala wanita pula tidak ketinggalan memainkan peranan penting dalam lingkungan masyarakat.

Bagi Ramlah Baba, 45 tahun, atau lebih dikenali sebagai isteri Tok Batin di Kampung Orang Asli Berasau, selain menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah dan ibu kepada tiga anak, beliau juga berperanan dalam menjaga kesejahteraan wanita di kampung tersebut.

Tugasnya meliputi mempromosikan adat, nilai dan amalan tradisional Orang Asli, memastikan wanita mengekalkan identiti budaya mereka sambil menerima kemajuan moden.

Aktiviti menganyam oleh wanita, antara amalan budaya warisan Orang Asli Jakun yang terus kekal hingga ke hari ini.

Daun pandan amat sinonim digunakan sebagai bahan utama untuk membuat pelbagai hasil kraftangan seperti tikar, bekas telur dan perhiasan pakaian seperti tanjak.

“Di kampung ini ada lebih 30 wanita dan ramai antara kami adalah suri rumah. Memang jadi kebiasaan kami untuk menganyam, bukan saja untuk orang kampung tapi juga kami buat untuk berniaga apabila mendapat tempahan dari orang luar,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, kata Ramlah, pendapatan daripada penjualan hasil anyaman agak berkurangan.

“Kami jual di kawasan sini saja. Ada juga apabila dapat tempahan, ramai yang tak ambil walaupun anyaman sudah siap. Jadi, duit kami tak dapat dan hasil pula membazir macam itu saja. Mahu deposit tapi kami tak ada akaun perbankan dalam talian. Kami tak tahu macam mana nak komersialkan lagi,” katanya.

Justeru, apabila pihak PETRONAS menganjurkan bengkel pemantapan skil anyaman dan pemasaran digital di Kampung Berasau baru-baru ini, Ramlah berusaha untuk memastikan golongan wanita di kampung itu mengambil bahagian.

Bengkel itu adalah antara inisiatif PETRONAS melalui Program ‘Sirih Pulang ke Gagang’ sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-50.

Hasilkan produk baharu

Ramlah berkata, dia seronok dapat belajar menghasilkan pelbagai produk baharu menggunakan teknik yang betul.

“Sebelum ini saya tak pernah tahu macam mana nak anyam produk lain dan di mana nak mula. Terima kasih PETRONAS kerana beri peluang untuk kami pelbagaikan lagi skil menganyam.

“Sesi ini pun telah memberi peluang anak kami untuk lebih mahir untuk berniaga menggunakan sosial media. Jadi, bolehlah mereka pasarkan produk kami di sini. Senang, guna gajet saja, ” katanya.

Program peningkatan skil dan keusahawanan wanita tempatan itu hasil kolaborasi antara Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan & Kakitangan Wanita PETRONAS (PETRONITA) dan Penan Women Project (PWP) dari Sarawak.

Komuniti setempat juga dapat mendengar perkongsian daripada Orang Asli Jahut, Nur Rafidah Man, atau lebih dikenali sebagai Jungle Girl, memberi pendedahan cara memasarkan produk menerusi sosial media seperti TikTok.

Ramlah juga berkata, dengan skil baharu yang diperoleh, golongan wanita di kampungnya lebih bersemangat untuk menghasilkan produk pelbagai bentuk dan saiz.

Aktiviti menganyam, jelasnya, kian rancak sejak Kampung Berasau menerima sumber solar yang dibekalkan oleh Yayasan PETRONAS tiga tahun lalu. Sebelum itu, aktiviti menganyam hanya dilakukan pada waktu siang.

“Sejak itu, tak kira masa siang atau malam kami kerap menganyam bagi menambahkan hasil produk untuk dijual,” katanya.

Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Selatan, Mohd Zaki Mahat, berkata bersempena dengan ulang tahun PETRONAS ke-50 tahun ini, pihaknya teruskan kesinambungan usaha di kampung Ini.

“Antaranya, penambahan dua panel solar dan penambahbaikan satu panel solar bagi pengunaan peti sejuk beku untuk kegunaan ramai.

“Selain itu, kami bantu penduduk, khususnya kaum Orang Asli wanita untuk terus berdikari. Melihat bakat tradisi menganyam, kita bantu untuk tingkatkan lagi kepelbagaian produk mereka.

“Kita juga berikan pendidikan bagaimana untuk memulakan jualan di atas talian bagi menjana pendapatan tambahan. Diharapkan usaha ini mampu diteruskan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Zaki berkata, PETRONAS akan meneruskan usaha untuk menyumbang program berimpak tinggi kepada golongan memerlukan, seiring usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup melalui pelbagai program kemasyarakatan yang dilaksanakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top