firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengumuman syarikat gergasi minyak tempatan, Petronas sebagai penaja utama Liga Bolasepak Bangladesh agak mengejutkan khususnya dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan, mengapa syarikat minyak nasional memilih untuk melabur di luar negara sedangkan liga sendiri masih bergelut mencari penaja kukuh?.
Melalui satu hantaran rasmi di Facebook Liga Bolasepak Bangladesh, Petronas diperkenalkan sebagai penaja utama musim 2025–2026.
“Penantian kini berakhir! PETRONAS bawakan saingan Bangladesh Football League,” tulis penganjur, seolah-olah memperkenalkan satu kerjasama bernilai tinggi.
Liga itu dijadual membuka tirai pada 24 November dengan penyertaan lapan pasukan.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Christopher Raj, turut melontarkan persoalan lantang mengenai keutamaan syarikat minyak nasional itu.
“Kenapa mereka tak sokong bola sepak negara? Kenapa Petronas tak bagi duit dekat Liga M? Kenapa Petronas bagi duit dekat Bangladesh?” katanya.
Beliau menegaskan jurang ketara antara Liga Malaysia dan Liga Bangladesh jauh berbeza, dengan pasukan dari negara mempunyai wakil di kejohanan tertinggi Asia (ACLE) manakala bangladesh tidak dan jauh sekali untuk bermain di kejohanan tersebut.
“Liga Malaysia lebih tinggi nilainya daripada Liga Bangladesh. Kita mempunyai pasukan Johor DT, Selangor dan sebagainya bermain dalam kejohanan Liga Juara-juara Asia (ACL). Bangladesh tak ada pasukan yang layak ke ACL,” katanya.
Pengumuman itu disambut dengan tanda tanya bahawa liga tempatan sedang bergelut dengan kestabilan kewangan, kelangsungan pasukan dan ketidakcukupan dana untuk memperkukuh pembangunan bola sepak negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






