nfazlina@nstp.com.my
Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan empat warga Myanmar termasuk seorang kanak-kanak yang menyeludup masuk ke Malaysia tanpa dokumen di kawasan semak di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, petang semalam.
Kesemua mereka yang ditahan berusia antara lapan hingga 70 tahun membabitkan tiga lelaki termasuk kanak-kanak dan seorang wanita dewasa.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan jam 5 petang itu dilakukan Batalion 9 menerusi Op Taring Wawasan.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan mengaku masuk ke Malaysia menaiki bot dari Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan.
“Hasil soal siasat mereka mendakwa membayar RM3,000 setiap orang kepada satu ejen yang menguruskan segala kos untuk masuk ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, kesemua suspek diserahkan kepada IPD Tumpat untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) IMG 1959/63.
“Pemeriksaan dan pemantauan akan terus dipergiatkan bagi membanteras kemasukan migran ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan di sekitar kawasan tanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






