Enam remaja ditahan kes belasah pelajar kerana isu hutang

Enam remaja ditahan kes belasah pelajar kerana isu hutang


PEKAN: Polis menahan enam remaja lelaki dipercayai terlibat kejadian memukul seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun dalam satu insiden di sebuah pondok berhampiran Pejabat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu dikatakan pergi ke lokasi berkenaan untuk berjumpa seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bagi menyelesaikan isu hutang.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi, berlaku pertengkaran sebelum mangsa dipercayai ditolak, ditumbuk dan ditendang oleh suspek utama.

“Siasatan turut mendapati lima lagi individu lain berusia antara 13 hingga 16 tahun yang berada di lokasi kejadian turut bertindak memukul mangsa,”  katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd. Zaidi berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian pipi kanan dan mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pekan.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan enam suspek kira-kira pukul 1.30 pagi  di pekarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Pekan. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh manakala kesemua suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut dijalankan,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial rakaman seorang remaja remaja lelaki dipukul sehingga terjatuh sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top