Piala ASEAN B-23: Harimau Muda gagal tembusi pusingan kalah mati

Piala ASEAN B-23: Harimau Muda gagal tembusi pusingan kalah mati


Aksi Aiman Yusuf Muhammad Nabil ketika Harimau Muda menentang Garuda Muda dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Piala ASEAN B-23 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada Isnin. Foto Malaysia NT

HASRAT skuad bawah 23 tahun (B-23) negara untuk mara ke pusingan kalah mati Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-23 2025 tidak kesampaian selepas sekadar seri tanpa jaringan menentang Indonesia dalam aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno pada Isnin.

Skuad kendalian Nafuzi Zain yang turun dengan misi wajib menang bagi meneruskan kemaraan memperagakan disiplin tinggi sepanjang 90 minit permainan biarpun beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, Garuda Muda.

Bagaimanapun, kegagalan menyudahkan beberapa peluang terbaik menyaksikan Harimau Muda terpaksa akur berkongsi satu mata dengan skuad bimbingan Gerald Vanenburg yang hanya memerlukan keputusan seri untuk layak.

Keputusan itu menyaksikan Indonesia muncul juara Kumpulan A dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri, manakala Filipina di tempat kedua dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan dan satu kekalahan.

Malaysia menamatkan kempen di tempat ketiga kumpulan dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan, manakala Brunei tercorot tanpa sebarang mata.

Sementara itu, Nafuzi Zain mengakui kecewa dengan kegagalan anak buahnya meraih kemenangan, namun tetap berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain muda yang baru pertama kali menyertai kejohanan bertaraf antarabangsa.

“Malam ini kami turun dengan misi kemenangan dan saya percaya kami bermain dengan baik, malah menunjukkan keyakinan tinggi walaupun beraksi di hadapan penyokong lawan.

“Ada beberapa peluang yang sepatutnya disempurnakan, namun gagal diterjemahkan kepada jaringan. Namun, saya anggap keputusan seri ini tetap sesuatu yang positif untuk pembangunan pasukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top