Piala Asia: Korea Selatan lenyapkan impian Tigress

Piala Asia: Korea Selatan lenyapkan impian Tigress


Foto Konfederasi Hoki Malaysia

IMPIAN skuad hoki wanita negara untuk mara ke pentas Super Four Piala Asia 2025 musnah selepas tunduk 0-5 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan A di Gongshu, China pada Isnin.

Malaysian Tigress bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim itu tidak mampu menyaingi keampuhan pasukan lawan yang tampil lebih kemas dan agresif sepanjang perlawanan.

Gol Korea hadir seawal minit ke-12 menerusi pukulan sudut penalti Kim Eunji sebelum Cheon Eunbi meledak dua gol berturut-turut pada minit ke-27 dan 30 untuk menjarakkan kedudukan.

Kekalahan bertambah perit apabila Jeong Dabin menyumbat gol keempat melalui pukulan sudut penalti minit ke-39, sebelum Cho Hyejin melengkapkan pesta jaringan Korea pada minit ke-58.

Malaysia sebelum ini memulakan kempen dengan langkah sumbang selepas tewas 0-8 kepada tuan rumah, China, Jumaat lalu, namun sempat bangkit membelasah Taiwan 11-1 pada Ahad.

Dengan keputusan itu, Tigress menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dan akan meneruskan cabaran dalam peringkat klasifikasi kedudukan kelima hingga kelapan bermula Rabu ini.



Source link

OR

Scroll to Top