Piala Dunia 2026: Lamine Yamal cergas tetapi tidak bermula kesebelasan utama Sepanyol menentang Cape Verde

Piala Dunia 2026: Lamine Yamal cergas tetapi tidak bermula kesebelasan utama Sepanyol menentang Cape Verde


Atlanta: Bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal disahkan cergas untuk diturunkan dalam aksi pembukaan Kumpulan H Piala Dunia 2026, namun dijangka hanya beraksi dari bangku simpanan menentang Cape Verde.

Pengurus Sepanyol, Luis de la Fuente berkata, penampilan Yamal akan bergantung kepada perjalanan perlawanan ketika pertemuan tersebut berlangsung.

Pemain berusia 18 tahun itu tidak beraksi sejak April akibat masalah pangkal paha dan hamstring, namun kini kembali menjalani latihan penuh bersama skuad kebangsaan.

“Berita baiknya ialah Lamine berada dalam keadaan sangat cergas. Dia mengikuti proses yang ditetapkan, dia dalam keadaan baik dan menjalani latihan dengan sangat bagus seperti rakan-rakan lain yang juga pulih daripada kecederaan,” katanya.

“Semua pemain tersedia, tetapi mereka tidak akan bermula dari kesebelasan utama. Kami akan lihat bagaimana perlawanan berkembang dan kemudian membuat keputusan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada pasukan,” katanya.

De la Fuente menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan situasi perlawanan dan bukan kerana kebimbangan terhadap kecergasan pemain.

Sementara itu, beliau tidak meremehkan cabaran Cape Verde yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia.

“Jika anda belum menonton mereka bermain, anda akan lihat esok. Mereka pasukan yang sangat tersusun dari segi taktikal dan sangat kuat dari segi fizikal serta laju,” katanya.

“Mereka mungkin antara pasukan yang mampu mencipta kejutan di Piala Dunia ini. Perlawanan esok pasti sukar walaupun kami menang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top