Piala Raja Sepanyol: Aksi Barcelona, Atletico Madrid ibarat final

Piala Raja Sepanyol: Aksi Barcelona, Atletico Madrid ibarat final


GERGASI La Liga, Barcelona terus menunjukkan prestasi mengagumkan apabila mengharungi 20 perlawanan tanpa kalah dalam semua pertandingan, sekali gus menjadi satu-satunya pasukan dalam lima liga utama Eropah yang masih belum tewas pada 2025.

Malah, ketika ini Blaugrana turut berusaha untuk meraih tiga gelaran dengan mempamerkan corak permainan bola sepak menarik untuk penyokong musim ini.

Bagaimanapun, pengendali pasukan, Hansi Flick mengakui bahawa Barcelona hanya akan dinilai berdasarkan kejuaraan yang diraih, sambil menegaskan bahawa pasukannya bersedia memberikan segala-galanya ketika menentang Atletico Madrid dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Raja Sepanyol di Riyadh Air Metropolitano.

Perlawanan itu dijangka sengit dengan agregat terikat 4-4 selepas pertemuan pertama di Stadium Olimpik Lluís Companys pada Februari lalu.

Barcelona kini turut mendahului La Liga dengan kelebihan tiga mata di atas Real Madrid dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, di mana mereka dijadualkan menerima kunjungan Borussia Dortmund dalam perlawanan pertama minggu depan.

“Saya merasakan keazaman mereka untuk memenangi gelaran.

“Kami akan berusaha sedaya upaya, memberikan segala-galanya untuk itu dan kita akan lihat apa yang berlaku di akhir musim.

“Tetapi dengan cara kami bergerak ke depan, saya sangat gembira. Pasukan ini boleh berbangga dengan keadaan semasa,” kata Flick.

Barcelona kini mendahului La Liga dengan 66 mata daripada 29 perlawanan, dengan juara bertahan Real Madrid di tempat kedua dengan 63 mata, manakala Atletico Madrid di tempat ketiga dengan 57 mata selepas gagal memenangi tiga perlawanan terakhir.

“Perlawanan esok seperti perlawanan akhir dan ini adalah peluang yang baik untuk kami.

“Kami berbangga dengan pasukan ini dan cara kami bermain. Bukan kebetulan kami berjaya sampai ke tahap ini, kami layak mendapatkannya. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas usaha mereka.

“Sikap mereka sentiasa sama, mereka sentiasa memberikan yang terbaik dan tidak pernah berputus asa. Hasilnya, kita akan lihat nanti.

“Pasukan ini telah menunjukkan peningkatan dan saya telah memberitahu mereka perkara itu. Saya berterima kasih atas apa yang mereka lakukan. Tetapi ini bola sepak, jadi yang paling penting adalah gelaran,” katanya.

PIALA RAJA SEPANYOL

KHAMIS (3 APRIL)

Atletico Madrid (4) lwn (4) Barcelona

(Riyadh Air Metropolitano. 3.30 pagi)

* Dalam kurungan keputusan separuh akhir pertama



Source link

OR

Scroll to Top