zanariah_mutalib@bh.com.my
Kuala Lumpur: Cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pindaan itu yang dirangka selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan kepada kerajaan.
Sebaliknya, cadangan itu, kata Perdana Menteri, memperkukuh struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.
“Dalam salasilah demokrasi, kematangan sebuah negara tidak pernah diukur kepada lamanya seseorang memegang tampuk kuasa. Ia diukur pada kekuatan institusi yang menjamin kesinambungan dasar dan pentadbiran negara melangkaui individu.
“Jadi, pengehadan tempoh jawatan bukan penafian terhadap peluang kepemimpinan, sebaliknya satu ikhtiar untuk memastikan negara ini terus dipandu oleh institusi yang kukuh, berfungsi dan tidak terikat pada mana-ma insan semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu, sebaliknya sudah menjadi wacana reformasi yang panjang.
Justeru katanya, Kerajaan MADANI mengambil langkah untuk menterjemah wacana itu dan pindaan berkenaan adalah satu tekad politik untuk melaksanakan reformasi secara konsisten.
“Jadi, rasionalnya adalah menetapkan kaedah atau mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden, memastikan peralihan kuasa dan kepemimpinan berlaku secara tertib, teratur berlandaskan undang-undang.
“Dalam kerangka perlembagaan, lantikan Perdana Menteri bergantung kepada kepercayaan majoriti Dewan Rakyat, namun perlembagaan tidak menetapkan had tempoh jawatan walaupun jawatan ini memegang peranan besar dalam pentadbiran negara,” katanya.
Perdana Menteri memaklumkan, terdapat negeri yang sudah melaksanakan pendekatan itu dan terdapat juga negeri yang sedang meneliti cadangan berkenaan.
“Ini mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dan meluas mengenai kepentingan memperkukuh institusi serta menetapkan had kuasa secara berprinsip.
“Di peringkat Persekutuan, cadangan ini mengambil pendekatan had tempoh secara agregat bagi mengekalkan keseimbangan antara pembaharuan kepemimpinan dan kestabilan pentadbiran negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dalam rangka cadangan itu, kerajaan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, wakil masyarakat serta pakar dalam bidang tadbir urus dan perlembagaan.
Ia turut mengambil kira pandangan awam, yang menunjukkan sokongan terhadap usaha memperkukuh kebertanggungjawaban pimpinan melalui penetapan had tempoh jawatan.
Katanya, cadangan RUU itu mempunyai lapan fasal, iaitu meminda perlembagaan bagi memperuntukkan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri, termasuk kaedah pengiraan tempoh jawatan serta perkara berkaitan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






