September 8, 2024

PN belum kemuka petisyen PRK DUN Kuala Kubu Baharu

PN belum kemuka petisyen PRK DUN Kuala Kubu Baharu


PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) belum mengemukakan petisyen terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, kata Dr Azmi Sharom.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkata, pihaknya belum menerima apa-apa petisyen selepas kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao.

“Setakat ini tiada (ada petisyen dihantar PN),” katanya menjawab pertanyaan media samada gabungan pembangkang itu sudah menghantar petisyen terhadap SPR.

Sebelum ini, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan pihaknya sedang mengumpulkan fakta dan bukti salah laku dalam PRK Kuala Kubu Baharu sebelum mengemukakan petisyen kepada suruhanjaya itu.

Sebelum ini, Timbalan Setiausaha PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan tersebut berhasrat memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya ekoran mendakwa PH menyalahgunakan aset kerajaan dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu menyaksikan PH mempertahankan kerusi DUN itu selepas calonnya, Pang Sock Tao, menang dengan majoriti 3,869 undi.

Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu memperoleh 14,000 undi, menewaskan pencabar dari PN, Khairul Azhari Saut yang meraih 10,131 undi; calon bebas, Nyau Ke Xin (188 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin (152 undi).

Dalam perkembangan berkaitan, ditanya mengenai perkembangan proses kajian persempadanan semula di Sarawak, menurut Azmi, beliau enggan mengulas lanjut kerana SPR belum mengadakan perbincangan lagi.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dilapor berkata, proses kajian persempadanan semula oleh suruhanjaya terbabit di Sarawak telah bermula tahun lalu manakala di Sabah pada 2025, dan di Semenanjung Malaysia pada 2026.

Menurutnya, bagi melaksanakan proses berkenaan, SPR akan membuat kajian dalam tempoh dua tahun dan selepas tempoh itu, satu laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top