June 18, 2024

PN optimis menang jika peratusan keluar mengundi cecah 80 peratus


KUALA KUBU BAHARU – Perikatan Nasional (PN) memerlukan kira-kira 80 peratus daripada 40,226 pengundi untuk keluar mengundi pada 11 Mei nanti bagi membolehkan gabungan itu menang selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sasaran berkenaan ditetapkan dengan mengambil kira sentimen dan penerimaan pengundi kawasan itu terhadap Khairul Azhari Saut.

“Kita ada enam hari, saya mahu sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi wajib keluar.

“Saya beri jaminan berdasarkan laporan risikan dan culaan di lapangan yang kita buat, keluar 80 peratus pengundi mengundi, Kuala Kubu Bharu milik PN pada 11 Mei,” katanya  dalam Ceramah Umum PN, di Ampang Pecah, lewat malam tadi.

Justeru, Azmin yang juga Pengarah PRK bagi kerusi itu berkata, pihaknya akan memanfaatkan baki enam hari ini untuk berkempen dengan lebih agresif.

Azmin yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Selangor berkata, sasaran itu turut mengambil kira keputusan siri culaan (bancian) terbaharu oleh PN dengan jumlah yang meyakinkan.

Malah PN berharap momentum itu dapat diteruskan sehingga hari mengundi nanti.

“Saya baru sahaja menerima laporan, hari ini sahaja mereka menyentuh 7,000 pengundi di beberapa (Pusat Daerah Mengundi). Esok (hari ini) akan diteruskan dan kita menjangkakan 15,000 pengundi akan kita sentuh dan ziarah,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top