am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya memilih untuk ke parlimen.
Amira Aisya berkata, keputusan itu dibuat bagi memperkukuhkan perjuangan rakyat di peringkat nasional dan memastikan suara generasi muda, golongan pekerja serta rakyat yang berdepan tekanan
kos sara hidup terus dibawa ke parlimen.
“Selepas empat tahun berkhidmat di Puteri Wangsa, banyak isu yang sebenarnya di bawah di bidang kuasa Parlimen. Lantang mana pun kita angkat suara rakyat, tetapi tiada polisi dan dasar yang boleh digubal di peringkat DUN kerana ia bidang kuasa parlimen.
“Sebagai contoh isu kesihatan, di Puteri Wangsa ada hospital yang besar iaitu Hospital Sultan Ismail (HSI) yang bukan sahaja digunakan oleh penduduk Puteri Wangsa dan Tebrau, tetapi menjadi tumpuan pesakit di selatan Malaysia.
“Tetapi, hospital ini selalu tidak cukup katil, tidak cukup ambulans, bila kami bangkitkan, cakap itu isu parlimen,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon MUDA bagi PRN Johor di Taman Daya di sini, hari ini.
Selain itu, Amira Aisya berkata, soal isu pendidikan yang juga sering dibangkitkan beliau di DUN, tidak mendatangkan hasil kerana ia kemudian dibalikkan kepada bidang kuasa parlimen.
“Isu pendidikan pun, di kawasan Puteri Wang banyak sekolah yang sudah padat dengan pelajar. Ada sebuah sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato’ Onn yang sudah buka sepatutnya, tetapi tidak beroperasi. Kita ‘push’ beberapa kali.
“Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pun sepatutnya sudah dibuka tetapi tidak buka-bila. Bila kita ‘push’ isu ini, akhirnya ia adalah soal isu dasar di peringkat Parlimen.
“Sebab itu, saya rasa pentingnya kita bawa suara Puteri Wangsa ini ke peringkat parlimen,” katanya.
Penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa itu berkata, hasratnya bertanding di Parlimen sudah dibawa kepada pimpinan MUDA dan beliau berhasrat untuk memberi fokus kerusi Parlimen di daerah Johor Bahru.
“Saya boleh cakap sekarang, sudah tentu saya ada nilai sentimental yang sangat tinggi di Puteri Wangsa dan juga di kerusi Tebrau.
“Tetapi, saya ini dilahirkan di Kampung Melayu Majidee dan seluruh Johor Bahru ini adalah taman permainan saya dari kecil. Mana-mana kerusi nanti kita akan putuskan di peringkat pimpinan, tetapi macam yang saya kongsikan fokus saya adalah angkat suara Puteri Wangsa dan Johor Bahru di Parlimen.
“Saya tidak mahu jadi seperti parti-parti lama yang hanya fikir strategi menang dan kuasa semata-mata, tetapi saya mahu fikir bagaimana cara untuk berkhidmat pada rakyat,” katanya.
Amira Aisya adalah wakil tunggal MUDA yang memenangi kerusi DUN pada PRN Johor 2022.
Beliau memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa dengan undian sebanyak 22,884 mengalahkan lima pencabarnya termasuk Ng Yew Aik dari Barisan Nasional (BN) dan Steven Choong dari Parti Bangsa Malaysia (PBM).
© New Straits Times Press (M) Bhd






