Ahli Parlimen Jasin cedera nahas di AMJ

Ahli Parlimen Jasin cedera nahas di AMJ


ALOR GAJAH: Perjalanan pulang Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail selepas menghadiri Program Dewan Muslimat Pas di Selangor bertukar tragedi apabila kereta dinaikinya dirempuh di persimpangan lampu isyarat Jelatang, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.52 pagi itu, Zulkifli, 60, mengalami luka pada kedua-dua tangannya manakala isterinya, Zarina Rethian, mengadu sakit dada selepas kereta Nissan Teana dinaiki mereka dilanggar sebuah Perodua Axia.

Difahamkan, ini adalah kemalangan kedua dialami Zulkifli selepas kejadian pertama berlaku di Jasin, enam hari lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu Perodua Axia, seorang wanita berusia 30 tahun mengalami patah tulang rusuk dan tulang pinggul, sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

Katanya, turut cedera ialah tiga penumpang wanita yang menaiki kenderaan tersebut dengan masing-masing mengalami luka pada muka, bahu, perut dan kaki.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di persimpangan lampu isyarat Jelatang yang menghubungkan laluan utama Lebuh AMJ.

“Ketika kejadian, Nissan Teana dipandu Zulkifli sedang bergerak dari arah Rembia menghala ke Tol Simpang Ampat. Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat Jelatang dan melepasi lampu hijau, sebuah Perodua Axia yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek dipercayai telah melanggar bahagian hadapan sebelah kiri Nissan Teana tersebut.

“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan dan semua mangsa mengalami kecederaan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, polis telah merakam percakapan Zulkifli, selain menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan hospital bagi melengkapkan siasatan.

“Kedua-dua kenderaan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan lanjut dan tiada rakaman kamera papan pemuka diperoleh daripada kenderaan yang terlibat dan usaha mengesan saksi bebas yang melihat kejadian juga sedang dijalankan,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan pertimbangan yang munasabah. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top