July 27, 2024

PRK KKB: Pengundi Melayu sudah mula ubah sikap – Asyraf

PRK KKB: Pengundi Melayu sudah mula ubah sikap – Asyraf


KUALA LUMPUR – Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan di enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) menunjukkan kaum tersebut mula berubah sikap.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengundi Melayu menyedari hakikat bahawa sentimen perkauman dan agama tidak boleh lagi dijadikan cagaran untuk meraih undi.

“Malah mereka mula memahami bahawa Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbangun atas titah Tuanku Agong ini tidak pernah sesekali meminggirkan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera, malah terus diperkasakan sebagai asas kestabilan negara berbilang kaum dan agama,” kata Asyraf Wajdi.

Pang Sock Tao yang bertanding atas tiket PH mewakili Kerajaan Perpaduan menang dengan majoriti 3,869 dalam PRN yang berlangsung semalam.

Asyraf Wajdi berkata, hasil kerja kuat semua termasuk sokongan dan dokongan jentera UMNO daripada negeri-Negeri telah menadi faktor untuk kemenangan calon Kerajaan Perpadian di enam PDM tersebut.

Katanya, keputusan Pilihan Raya Negeri tahun lepas menyaksikan Parti Pakatan Harapan kalah di semua lapan PDM terbabit.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi syabas dan penghargaan kepada seluruh jentera UMNO terutamanya Bahagian-Bahagian Negeri Selangor termasuk jentera utama Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang diketuai oleh Pengerusi UMNO Selangor Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin.

“Yang berkampung di PDM-PDM seluruh DUN Kuala Kubu Baharu bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan yang mewakili Kerajaan Perpaduan Malaysia,” kata Asyraf dalam satu kenyataan.

Beliau turut memberi jamiman UMNO sebagai salah satu daripada 19 parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan agenda Islam dan Melayu-Bumiputera.

Ini sebagaimana perjanjian yang dimeterai dan dipersetujui oleh semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Tegas beliau, adalah penting lanskap politik baharu ini perlu diperkasakan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Semalam, Sock Tao menewaskan tiga pencabarnya, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia).

Sock Tao memperoleh 14,000 undi manakala Khairul Azhari meraih 10,131 undi, Ke Xin (188) dan Hafizah (152).-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top