July 27, 2024

KPT mahu siasatan terperinci kebakaran asrama UniMAP

KPT mahu siasatan terperinci kebakaran asrama UniMAP


Kangar: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu siasatan terperinci dilakukan terhadap kejadian kebakaran yang berlaku di di aras bawah Blok B, Kompleks Perumahan Pauh Putra, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Arau, awal pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan kementerian juga akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada UniMAP susulan insiden itu.

“Semoga semua yang terbabit tabah dan KPT akan memastikan segala perkara berkaitan akan diberi perhatian sewajarnya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya malam ini.

Hari ini media melaporkan sebanyak 26 motosikal musnah dan 10 lagi mengalami kerosakan kecil selepas kawasan parkir asrama lelaki UniMAP di Pauh, Arau terbakar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Arau Supt Ahmad Mohsin Md Rodi dipetik sebagai berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 4.43 pagi.

Zambry berkata beliau juga dimaklumkan bantuan segera telah diberikan oleh UniMAP bagi tujuan kebajikan dan penempatan sementara kepada pelajar yang terbabit, termasuk dari segi urusan barangan keperluan dan makanan.

“Bangunan yang menempatkan asrama pelajar ini telah dikosongkan dan UniMAP telah mengambil langkah-langkah awal bagi memastikan keselamatan pelajar diberi keutamaan,” katanya.

Beliau juga menasihatkan semua pelajar yang terlibat supaya sentiasa berhubung dan mendapatkan maklumat terkini daripada universiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top