July 27, 2024

Kemenangan manifestasi pengundi India kekal bersama PH – Dr. Sathia

Kemenangan manifestasi pengundi India kekal bersama PH – Dr. Sathia


KUALA LUMPUR – Pengundi India di Kuala Kubu Baharu akhirnya membuktikan sokongan mereka masih setia Bersama Pakatan Harapan (PH) apabila memenangkan calon DAP, Pang Sock Tao hari ini.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr. Sathia Parkash Nadarajan berkata, walaupun pelbagai tohmahan cuba ditaburkan pembangkang untuk mempengaruhi masyarakat India namun ia gagal.

“Malam ini merupakan malam kemenangan bukan sahaja untuk PH tetapi juga untuk Kerajaan Perpaduan apabila calonnya yang mewakili DAP, Sock Tao telah menang menewaskan tiga lagi pencabar untuk mempertahankan kerusi itu terus kekal milik PH dalam pemilihan hari ini.

“Ini satu kejayaan yang diraikan semua ketika ini dan lebih uniknya kita ada 18 peratus pengundi India di KKB dan kebanyakan daripadanya telah memberi kerjasama baik, bersatu padu serta berdiri teguh bersama PH dan akhirnya memenangkan calon kerajaan Perpaduan kita demi kesejahteraan hidup yang terjamin,” katanya kepada MalaysiaGazette malam tadi.

Menurut  Dr Sathia, walaupun sepanjang kempen sejak 27 April lalu pelbagai pihak cuba menabur fitnah dan cuba mengumpan pengundi India untuk memboikot dan memulaukan PRK kali ini.

“Namun keputusan kemenangan calon kerajaan Perpaduan malam ini memberikan satu manifestasi yang kukuh dan kuat kepada semua bahawa pengundi India di KKB tidak boleh dibeli atau diperdaya apabila mereka masih kekal menyatakan sokongan padu dengan menangkan calon PH,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat itu berkata walaupun terdapat beberapa isu dan permasalahan membabitkan komuniti itu dibangkitkan sepanjang kempen namun pihaknya terharu  masyarakat India masih berdiri utuh dan menaruh harapan terhadap PH.

“Pada masa yang sama, kemenangan calon Perpaduan malam ini turut didokong oleh gerak kerja serta sokongan semua pihak dalam kerajaan Perpaduan iaitu parti Keadilan, DAP, UMNO-BN, MIC, IPF, MyPPP yang turun membantu meraih sokongan pengundi sepanjang 14 hari berkempen untuk calon PH. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top