Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor dijamin kekal stabil dan tidak akan terjejas, meskipun dua gabungan utama iaitu Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dilaporkan bersedia bertanding di semua 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, walaupun terdapat perbezaan strategi antara kedua-dua gabungan di peringkat negeri, ia tidak akan menggugat hubungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Adakah ia akan memberi kesan kepada kerjasama dalam Kerajaan Persekutuan? Tidak.
“Atau ia mungkin satu tanda mungkin BN mahu merunding bersama PH? Mungkin. Mungkin ya,” katanya, hari ini.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan setiap parti mempunyai pendirian dan strategi tersendiri dalam menghadapi pilihan raya, namun ia tidak semestinya mencerminkan keretakan dalam hubungan kerajaan sedia ada.
Dalam pada itu, Fahmi turut meminta semua pihak menunggu dan mendengar amanat serta pandangan rasmi daripada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang dijangka diumumkan pada sebelah petang nanti.
Artikel lain: BN tanding semua DUN, Khaled Nordin jawab -“Di Johor tiada Kerajaan Perpaduan..”
Mengulas perkembangan PRN Johor, beliau menegaskan bahawa jentera Pakatan Harapan kini berada dalam keadaan siap siaga penuh, susulan spekulasi bahawa Dewan Negeri Johor dijangka dibubarkan pada 24 Jun bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri.





