PRN Sabah: BN sedia 'roadmap' percepat pembangunan infrastruktur negeri, nafi pemimpinnya gagal

PRN Sabah: BN sedia 'roadmap'  percepat pembangunan infrastruktur negeri, nafi pemimpinnya gagal


Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) ketika berada dalam kerajaan Sabah sebelum ini sudah menyediakan pelan hala tuju atau roadmap yang jelas untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur negeri, sekali gus menolak tanggapan kegagalan pemimpinnya sebelum ini.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ini termasuk iltizam BN melaksanakan mekanisme ‘Fast-Track Procurement’ bagi projek air kritikal supaya proses reka bentuk, tender dan kelulusan dapat disiapkan dalam tempoh 12 hingga 18 bulan.

Beliau berkata, pendekatan itu juga mengelakkan peningkatan kos tidak munasabah seperti dalam kes Projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon.

“Kedua, BN akan menubuhkan Project Delivery Unit (PDU). BN akan menubuhkan PDU di bawah Pejabat Ketua Menteri bagi memantau tender, pembiayaan dan isu tanah projek strategik.

“PDU akan menghapuskan kelewatan akibat ‘decision paralysis’ serta menyelaras jabatan teknikal yang selama ini melambatkan banyak projek negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, BN juga akan melaksanakan Reformasi Pengurusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Grid Elektrik dengan kuasa kawal selia elektrik yang dipindahkan kepada Sabah pada Januari 2024.

“BN akan menyusun semula Lembaga Pengarah SESB berasaskan kepakaran teknikal. Memberi keutamaan kepada pelaburan grid jangka panjang termasuk Southern Link dan menjamin kestabilan bekalan elektrik dalam tempoh lima hingga lapan tahun,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mengenai kelemahan pemimpin BN sebelum ini ketika berada dalam pentadbiran negeri, yang turut disifatkan beliau cuba mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan yang lebih besar dalam pentadbiran semasa.

Mengulas lanjut, Suhaimi berkata, kelewatan projek kritikal yang disebut Armizan adalah berpunca daripada masalah sistemik yang sudah lama membelenggu pentadbiran teknikal negeri.

“Khususnya birokrasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang terlalu kompleks, proses perolehan yang perlahan dan berlapis serta penyelarasan bersama pembiayaan Persekutuan.

“Ia ditambah lagi apabila isu ini tidak dapat ditangani kerana kelemahan kepimpinan politik GRS dalam mentadbir sehingga menyebabkan berlakunya ‘decision paralysis’ terhadap projek-projek major,” katanya.

Justeru itu, beliau yakin rakyat boleh menilai siapa yang menawarkan solusi, siapa yang mempunyai pengalaman dan siapa yang benar-benar mampu melaksanakan.

“Beri mandat kepada BN, kita akan mempercepatkan projek air, menstabilkan grid elektrik, menghapuskan birokrasi yang melambatkan pembangunan dan mengembalikan Sabah ke landasan pembangunan sebenar. Kerana akhirnya, perbezaannya jelas, yang lain berslogan, BN bekerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top