Kuala Lumpur: Pelaksanaan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJR) beri kesan positif dalam meringankan kos sara hidup rakyat dan telah memberi manfaat kepada lebih 5 juta rakyat bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 di seluruh negara.
Sepanjang tempoh itu, PJR sudah diadakan di sebanyak 5,680 lokasi di seluruh negara iaitu 2,248 secara dalam premis, luar premis (400) dan bergerak (3,032) dengan jumlah pengunjung mencecah lebih 5 juta orang dan terus menjadi pilihan utama dalam meringankan perbelanjaan rakyat untuk mendapatkan keperluan harian mereka.
Di Kuala Lumpur, tinjauan mendapati PJR di Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bandar Tun Razak mendapat sambutan baik daripada rakyat terutama golongan B40, pesara dan warga emas.
Nur Afiqah Othman yang berkunjung ke PJR itu, berkata jualan ini amat membantu terutama kepada golongan B40 dan mereka yang mempunyai ramai anak.
“Saya memang menanti PJR dan saya dapati barangan keperluan dijual di sini jauh lebih murah.
“Saya berharap supaya program ini diadakan lebih kerap dalam membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat Malaysia,” katanya.
Afiqah yang menetap di PPR ini memberitahu, penduduk amat menghargai usaha kerajaan dan memberikan keceriaan kepada masyarakat terutama merek yang berpendapatan rendah.
Meringankan kos sara hidup
Bagi Ethan yang ditemui di Jualan Rahmah Dataran Putrajaya, berkata PJR dapat membantu meringankan kesan kos sara hidup ketika ini.
“PJR sangat bagus untuk semua rakyat Malaysia kerana dapat menjimatkan pembelian terutama barangan dapur.
“Kami bersyukur kerana dapat membeli barang keperluan tanpa perlu menghadapi beban kewangan tinggi.
“Diharapkan program ini akan terus berjaya dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat,” katanya.
Sementara, Revathi pula berkata, banyak penjimatan yang diperoleh daripada program berkenaan dan sudah pasti ia dapat digunakan untuk keperluan lain pula dalam aspek pengurusan kewangan keluarga.
“Biasanya, saya membeli beras putih biasa lima kilogram dengan harga RM20 sekampit, namun kini membelinya dengan hanya RM14 sahaja.
“Begitu juga dengan harga telur gred B iaitu RM12 di pasaran, tetapi dijual RM9.80 di sini dan harga dua ekor ayam RM30 di pasaran berbanding RM20 sahaja dengan penjimatan RM10,” katanya.
“Saya berharap lebih banyak barangan lain turut dijual di program ini, selain turut diadakan di banyak lagi kawasan lain supaya ramai yang tahu dan dapat manfaat inisiatif kerajaan yang baik ini,” katanya.
Subsidi kerajaan
PJR adalah inisiatif di bawah Payung RAHMAH MADANI yang dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
PJR menawarkan penjimatan bagi barangan keperluan harian dengan harga sehingga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran.
Program itu diterapkan melalui tiga pendekatan inovatif iaitu di premis, luar premis (premium) dan secara bergerak.
PJR menawarkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, gula putih bertapis, minyak masak botol, tepung gandum, beras, sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan penjagaan diri.
Turut ditawarkan, barangan pembersihan rumah, lampin pakai buang, barangan keperluan sekolah, ubat-ubatan, serta lain-lain barangan keperluan harian seperti makanan dan bukan makanan.
Objektif utama PJR adalah memberikan penjimatan kepada rakyat, merangsang ekonomi sektor peruncitan di kawasan setempat, serta meringankan kesan kos sara hidup.
Program itu turut mendapat sokongan subsidi daripada kerajaan yang memastikan harga barangan kekal rendah dan mampu diakses oleh semua.
Usaha berterusan kerajaan
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, turut memaklumkan PJR telah diperluaskan ke semua 222 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Ia adalah usaha berterusan kerajaan untuk memastikan semua rakyat, tanpa mengira lokasi, dapat menikmati manfaat daripada program ini.
PJR turut menunjukkan komitmen KPDN dalam membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup dan memastikan barangan keperluan harian dapat diakses oleh masyarakat dari pelbagai latar belakang pendapatan.
Orang ramai ingin mengetahui maklumat lanjut PJR berkaitan tarikh dan lokasi program, boleh melayari Portal Rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my/jualan-rahmah.
© New Straits Times Press (M) Bhd