PETALING JAYA: Pelaburan bernilai berbilion ringgit di Pengerang perlu diterjemahkan kepada peningkatan operasi dan kewangan yang boleh diukur, terutama ketika Pengerang Refining and Petrochemical (PRefChem) masih mencatat kerugian.
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan berkata, prestasi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) perlu dinilai berdasarkan petunjuk yang jelas dan telus, bukan sekadar jaminan umum.
“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, rakyat sepatutnya melihat penggunaan loji yang lebih tinggi dan konsisten, pengurangan penutupan tidak dirancang, kerugian yang semakin mengecil, aliran tunai operasi positif dan akhirnya pulangan yang kompetitif terhadap modal yang dilaburkan,” katanya dalam kenyataan.
Jeyenderan, yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam industri perkapalan berkata, manfaat projek itu tidak seharusnya dinilai berdasarkan prestasi kewangan semata-mata.
Menurutnya, projek berkenaan juga perlu memperkukuh keselamatan bekalan bahan api negara dan mempelbagaikan sumber minyak mentah.
Beliau berkata, peningkatan eksport, peluang pekerjaan berkualiti dan lebih banyak peluang kepada syarikat maritim, logistik dan perkhidmatan sokongan tempatan juga perlu menjadi sebahagian daripada sumbangan ekonomi Pengerang.
“Perlu ada penilaian prestasi yang telus bagi menunjukkan dari tahun ke tahun apa yang telah bertambah baik dan sama ada projek ini bergerak ke arah matlamat ekonominya.
“Penilaian seperti itu membolehkan rakyat dan pihak berkepentingan menilai sama ada pelaburan besar di Pengerang benar-benar memberikan pulangan ekonomi yang diharapkan,” katanya.
Jeyenderan menjelaskan, pelaburan berterusan boleh dipertimbangkan sekiranya disokong peningkatan operasi yang jelas, sasaran kewangan serta laluan yang boleh dipercayai ke arah keuntungan mampan.
“Namun, jika berbilion ringgit lagi terus diperuntukkan sedangkan sasaran operasi dan kewangan utama masih tidak didedahkan, rakyat berhak mempersoalkan sama ada pelaburan itu benar-benar sedang dipulihkan atau sekadar diteruskan,” katanya.
Selain prestasi operasi dan kewangan, beliau berkata tadbir urus serta ketelusan dalam keseluruhan ekosistem Pengerang juga penting bagi memastikan nilai pelaburan itu dapat direalisasikan sepenuhnya.
Katanya, kerangka tadbir urus perlu merangkumi audit bebas secara berkala serta rekonsiliasi pergerakan kargo petroleum di seluruh ekosistem Pengerang.
Tambah beliau, tanggungjawab setiap pihak termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pengendali terminal, pemilik kargo dan agensi berkaitan juga perlu diperjelaskan.
“Sebarang percanggahan berkaitan jumlah kargo, klasifikasi, pemilikan atau layanan cukai perlu disiasat segera dan diselesaikan melalui proses yang didokumenkan.
“Pengawasan lebih ketat akan membantu melindungi hasil kerajaan selain mengekalkan keyakinan terhadap Pengerang sebagai hab petroleum strategik negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE
