May 18, 2024

PSAS: Jepun, Pakistan kekal rekod tanpa kalah


Pakistan dan Jepun mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perebutan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-30 sekali gus berjaya ke perlawanan akhir di Stadium Hoki Azlan Shah di Ipoh, esok.

Juara tiga kali Pakistan yang mengintai untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama dua dekad terselamat apabila seri 1-1 dengan pasukan di kedudukan ke-10 dunia, New Zealand pada perlawanan terakhir pusingan-robin hari ini.

Pakistan bagaimanapun terpaksa bangkit untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Abu Bakar Mahmood pada minit ke-43 selepas pasukan Black Sticks menjaringkan gol pertama pada minit ke-35 menerusi Luke Holmes melalui gol padang.

Jepun yang memburu kejuaraan sulung mereka dalam kejohanan jemputan ini selepas mencapai keputusan terbaik mereka di tempat keempat pada edisi 2022 menewaskan Kanada yang berada di kedudukan terbawah 3-1 selepas mempamerkan pertahanan mantap mereka sekali lagi yang mana hanya dibolosi lima gol dalam lima perlawanan.

Jepun yang berada di kedudukan ke-16 dunia bangkit selepas dikejutkan jaringan Kanada melalui Sean Davis pada minit ke-42 menerusi jaringan Hiro Saito (43’), Tsubasa Tanaka (56’) dan Kosei Kawabe (60’) untuk memastikan kemenangan.

Jepun menduduki tempat teratas dalam pusingan-robin dengan 13 mata selepas menewaskan Korea Selatan 2-1, New Zealand 4-1 dan Malaysia 2-1 sebelum ini, manakala Pakistan pula menewaskan Malaysia 5-4, Korea Selatan 4-0 dan Kanada 5-4 untuk menduduki tempat kedua dengan 11 mata.

Ketua jurulatih Pakistan, Roelant Oltmans berkata, Pakistan yang menjulang trofi itu pada 1999, 2000 dan 2003 perlu memikirkan cara untuk memecahkan barisan pertahanan Jepun pada perlawanan esok.

“Jepun adalah pasukan yang kuat dan bagus, pertahanan mereka sangat seimbang, jadi kami perlu mencari ruang membuka pertahanan mereka, yang mana sangat sukar dilakukan kerana setiap pasukan telah mencuba dalam kejohanan ini.

“Setiap pasukan mempunyai beberapa kelemahan kecil yang mungkin boleh diekploitasikan, itulah yang kami mahu cari.

“Pada masa yang sama kami tahu tentang diri kami, apabila kami bermain terlalu terbuka ketika menentang Kanada dan Malaysia, kami tidak dapat mengawal permainan, memberi peluang kepada lawan.

“Saya ingin memenangi perlawanan tanpa penentuan pukulan penalti, tetapi jika itu berlaku, ia akan menjadi pengalaman berharga untuk pemain dan kami telah berlatih dan bersedia untuk itu,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ketua jurulatih, Jepun Yoshihiro Anai berkata, dia tidak bercadang untuk menukar gaya pertahanannya pada perlawanan akhir kerana Jepun sedang dalam proses membentuk pasukan yang kuat untuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

“Kami akan bermain secara bertahan kerana Pakistan sangat mahir dan bagus dalam menggelecek, kami perlu terus fokus untuk menjaga kubu kami dan menghentikan gaya permainan agresif mereka.

“Selain itu, kami masih mempunyai beberapa penelitian yang perlu dilakukan bagi menjadikan kebolehan menjaringkan gol sebaik sebelum ini,” katanya. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top