July 27, 2024

Sri Pahang raih tiga mata berharga di Temerloh

Sri Pahang raih tiga mata berharga di Temerloh


SRI Pahang FC raih tiga mata berharga selepas menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC, 1-0 dalam aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di sini malam ini.

Pemain import Sri Pahang, Manuel Hidalgo muncul wira pasukan selepas menghasilkan gol tunggal perlawanan selepas menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-64.

Sebelum itu, tuan rumah memiliki banyak peluang keemasan namun kegagalan penyudah menghalang Sri Pahang membolosi gawang lawan.

Pelawat juga memiliki peluang terbaik pada minit ke-11 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti oleh pemain pertahanan, Muhammad Asraff Alifuddin Yasin namun berjaya ditangkap penjaga gawang Sri Pahang, Mohd Zarif Irfan Hashimuddin.

Peluang tuan rumah hadir pada m-40 menerusi bola lambung oleh penyerang import kelahiran Argentina, Hidalgo yang berjaya ditangkap penjagaan gol KDN FC, Khatul Anuar Md Jalil.

Hidalgo meraikan gol tunggal perlawanan. Foto Ihsan Gawang.my

Hidalgo meraikan gol tunggal perlawanan. Foto Ihsan Gawang.my

Babak pertama perlawanan menyaksikan tiada sebarang gol dihasilkan oleh kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua permainan, Sri Pahang nyaris mencemaskan pertahanan lawan menerusi cubaan pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj namun hanya melewati tiang gol.

Sri Pahang akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan gol selepas sepakan percuma yang diambil Hidalgo menerjah ke gawang lawan pada minit ke-64 sekaligus mengegarkan stadium yang dipenuhi 6,678 penonton.

Tuan rumah nyaris menambah gol menerusi cubaan pemain gantian, Ahapov Mykola namun tendangan penyerang import tuan rumah itu melepasi gawang gol pelawat pada minit ke-84.

Tambahan empat minit permainan tidak memberikan sebarang perubahan dan kedudukan kekal hingga wisel perlawanan dibunyikan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top