PSG akhiri impian Arsenal ke final UCL

PSG akhiri impian Arsenal ke final UCL


PARIS Saint-Germain (PSG) mempamerkan aksi klinikal untuk menamatkan kemaraan Arsenal ke final Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama sejak 2006 selepas mencatat kemenangan 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Parc des Princes, awal pagi Khamis.

Arsenal memulakan perlawanan dengan garang apabila Declan Rice nyaris menjaringkan gol menerusi tandukan, sementara dua percubaan Gabriel Martinelli dan Martin Odegaard dinafikan penjaga gol tuan rumah, Gianluigi Donnarumma.

Namun, PSG yang terlebih dahulu membuka tirai jaringan apabila rembatan Fabian Ruiz dari luar kotak penalti terkena William Saliba dan mengelirukan David Raya.

Babak kedua menyaksikan skuad kendalian Mikel Arteta terus mengasak, namun segalanya berubah selepas pengadil dari Jerman, Felix Zwayer menghadiahkan sepakan penalti kepada PSG hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang mendakwa bola terkena tangan pemain muda Arsenal, Myles Lewis-Skelly.

Keputusan itu dianggap kontroversi tetapi Raya tampil cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Vitinha.

Namun kegembiraan Arsenal tidak bertahan lama apabila pada minit ke-72, Achraf Hakimi menambah gol kedua buat PSG menerusi satu rembatan lencong yang melepasi jangkauan Raya.

Bukayo Saka kembali merapatkan kedudukan empat minit kemudian, tetapi peluang keemasan untuk menyamakan agregat dilepaskan apabila beliau melepaskan rembatan tinggi melepasi palang ketika pintu gol terbuka luas.

Arsenal terus melancarkan serangan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun ketiadaan penyerang utama yang cergas jelas menjadi kekangan buat mereka.

Kekalahan itu menyaksikan Arsenal tersingkir dengan agregat 3-2, sekali gus menamatkan musim kelima berturut-turut tanpa sebarang trofi utama.

Dalam reaksi pasca perlawanan, Arteta mengakui kecewa dengan keputusan yang dianggap tidak mencerminkan prestasi sebenar pasukannya.

“Pertama sekali, tahniah kepada PSG kerana mara ke final. Tetapi secara jujur, kami bermain lebih baik daripada mereka dalam kedua-dua perlawanan.

“Penjaga gol mereka menjadi pemisah. Jika dilihat dari segi persembahan, kami sangat hampir – lebih hampir daripada apa yang tertera pada keputusan. Kami mengawal permainan, mencipta peluang, dan sepatutnya mendahului selepas 20 minit pertama,” ujar Arteta kepada TNT Sports.

Beliau turut mempertikaikan beberapa keputusan yang menjadi titik tolak perlawanan.

“Keputusan penalti itu sangat keras dan kami tidak bernasib baik. Dalam kejohanan seperti ini, anda perlukan segala elemen berpihak kepada anda dan kami tidak mendapatnya malam ini,” tambahnya.

Bagi PSG, kemenangan ini menyaksikan mereka mara ke final UCL buat kali pertama sejak 2020.

Anak buah Luis Enrique berdepan Inter Milan selepas kelab Itali itu menumbangkan Barcelona 7-6 secara agregat di San Siro pada Rabu.



Source link

OR

Scroll to Top