Kvaratskhelia menjadi watak penting bawa PSG ke final Liga Juara-Juara. Foto AFP
PEMAIN sayap Paris Saint-Germain (PSG), Khvicha Kvaratskhelia menegaskan pasukannya kini mula mengalihkan fokus sepenuhnya terhadap Arsenal dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) selepas berjaya menyingkirkan Bayern Munich pada awal pagi Khamis.
PSG mengesahkan slot ke perlawanan akhir selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 pada aksi timbal balik di tempat lawan, sekali gus mara dengan kemenangan agregat 6-5.
Pemain antarabangsa Georgia itu menyifatkan kejayaan menumbangkan gergasi Jerman tersebut sebagai tugasan paling sukar buat mereka sepanjang musim ini.
“Sangat gembira kerana kami kini di pentas final. Kami sedar ia akan menjadi perlawanan yang sukar menentang Arsenal.
“Bayern adalah salah satu pasukan terbaik dunia ketika ini. Ia sangat mencabar, malah perlawanan yang paling sukar buat kami musim ini. Namun, kami membuktikan bahawa kami mampu bersaing dengan pasukan sehebat ini,” katanya.
Dalam aksi tersebut, Ousmane Dembele yang sebelum ini meledak dua gol pada perlawanan pertama, sekali lagi menjadi watak penting apabila memecah kebuntuan seawal minit ketiga menerusi hantaran tepat Kvaratskhelia.
Tersentak dengan gol awal itu, PSG terus melancarkan serangan namun lebih banyak bermain secara bertahan bagi mengawal tempo perlawanan memandangkan mereka sudah memiliki kelebihan dua gol secara agregat.
Tuan rumah hanya berjaya memperoleh gol saguhati menerusi Harry Kane pada masa kecederaan, yang juga gol ke-55 peribadinya musim ini. Bagaimanapun, gol tersebut sudah terlewat untuk menyekat kemaraan wakil Perancis itu ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Budapest pada 30 Mei depan.
Sementara itu, pengendali PSG, Luis Enrique memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh anak buahnya dalam mengekang asakan Bayern.
“Karakter yang kami pamerkan menentang pasukan seperti Bayern adalah sesuatu yang sangat positif. Kami sangat gembira dapat melangkah ke final buat kali kedua berturut-turut.
“Perlawanan yang sangat sengit dan sukar. Kedua-dua pasukan bermain di tahap tertinggi dan mempunyai gaya permainan yang hampir sama iaitu gemar melakukan tekanan (pressing). Kami amat berpuas hati,” katanya.





