June 24, 2024

Puad cadang Mohd Shukri lepas jawatan kerana lemah tadbir Perlis


KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mencadangkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli melepaskan jawatan kerana kepimpinannya lemah dalam mentadbir negeri itu.

Pemimpin UMNO itu berkata, kepimpinan Mohd Shukri terbukti lemah apabila anak dan bekas setiausaha politiknya pun boleh melakukan penyelewengan.

Bagaimanapun Puad berkata, beliau yakin Pas akan tampil dengan jawapan hipokrit membela Menteri Besar Perlis itu.

“Apa pun Shukri wajar letak jawatan. Tidak patut anak dan setpol dia buat kerja itu. Ia tidak akan berlaku kalau Shukri bukan MB. Pentadbiran dia lemah.

“Mujur Perlis negeri miskin. Tidak ada projek mega boleh disonglap. Dengan pentadbiran yang lemah dan mudah ditipu Perlis akan tambah mundur.

“Nama Islam makin tercemar seperti pesta bikini di Aloha Beach Party, Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah, Trengganu ‘Darul Iman,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, media melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis akan didakwa di mahkamah berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000, esok.

Sumber berkata, pertuduhan ke atas anak Menteri Besar itu akan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu Mohd Puad berkata, Pas akan beri jawapan bahawa mereka yang didakwa belum didapati bersalah.

“Maka tidak ada sebab MB Perlis letak jawatan atau kosongkan kerusi DUN Sanglang.

“Lagi pun bukan MB Perlis yang kena dakwa. Dia pun tidak petahankan perbuatan anaknya.

“Semua itu jawapan hipokrit. Rakyat tidak perlu hairan. Tak payah cakap PAS parti Islam. PAS bukan parti Islam. Haram pada orang lain, halal pada Pas,” kata Puad – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top