PUMA ORBITA MFL 1 kekal bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025

PUMA ORBITA MFL 1 kekal bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025


KUALA LUMPUR -Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memulakan musim baharu dengan memperkenal dan melancarkan PUMA Orbita MFL 1 sebagai bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025.

Jenama global Puma telah menjadi penyedia dan penaja bola perlawanan rasmi liga tempatan dengan teknologi dan reka bentuk terkini untuk semua perlawanan melibatkan pertandingan elit Liga Malaysia.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, MFL adalah liga bola sepak pertama di Asia yang menggunakan bola perlawanan rasmi rekaan PUMA.

Katanya, selain itu ia juga merupakan musim ketiga kerjasama ini terjalin menerusi PUMA MFL Accelerate 21.1 Pro yang digunakan sebagai bola rasmi Liga Malaysia 2022.

“Penggunaan PUMA Orbita MFL 1 selaku bola rasmi menjadikan Liga Malaysia turut mengikuti jejak langkah dua liga terkemuka dunia iaitu La Liga di Sepanyol dan Serie A di Itali selain pertandingan EFL termasuk Sky Bet Championship, League One, League Two, Carabao Cup dan Papa John’s Trophy.

“Menggabungkan warna ikonik kuning, merah, putih dan biru yang diilhamkan daripada bendera kebangsaan iaitu Jalur Gemilang, PUMA ORBITA MFL 1 menampilkan reka bentuk berani dan rekaan grafik yang menarik dengan warna asas putih.

“Malah, logo PUMA berwarna kuning terang pula melengkapkan lagi penampilan yang menakjubkan bola rasmi Liga Malaysia 2024-2025,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tambah Ab Ghani lagi, PUMA Orbita MFL 1 telah berjaya membantu para pemain untuk memperagakan prestasi terbaik mereka di atas padang sepanjang musim 2023 untuk Liga Malaysia.

“Jadi, memasuki musim ketiga bersama PUMA, saya percaya jalinan kerjasama ini akan terus memberi impak positif selain dengan warna ikonik yang ada pada bola ini melambangkan Jalur Gemilang untuk menyuntik semangat jati diri yang lebih tinggi dalam diri pemain.

“Saya berharap semua kelab dan para pemain akan dapat mempersembahkan aksi yang lebih memberangsangkan menerusi bola rasmi PUMA ini sekali gus melonjakkan lagi mutu kualiti liga kita,” ujarnya.

Selain itu, katanya, matlamat PUMA adalah untuk membantu para pemain melakukan aksi memukau di atas padang selain untuk menampilkan persembahan terbaik bersama PUMA Orbita MFL 1 yang turut menggabungkan teknologi terpantas dengan prestasi yang tiada tandingan.

Tegas Ab Ghani lagi, PUMA Orbita MFL 1 juga dihasilkan dengan frekuensi tinggi direka untuk pengekalan bentuk yang luar biasa, ketahanan yang tinggi selain pengurangan penyerapan air.

“Konfigurasi 12 panel yang luar biasa memastikan berat yang seimbang dan dapat meningkatkan kstabilan bola selain jahitan yang diperbesarkan dapat meningkatkan lagi aerodinamik untuk trajektori dan kelajuan optimum apabila dilantun atau semasa bola di udara.

“PUMA ORBITA MFL 1 direka dengan teknologi terkini dengan ciri-ciri permukaan PU 1.2 mm bertekstur Tiga dimensi (3D) bagi meningkatkan ketahanan, melonjakan kepekaan daya lantunan dan kawalan bola yang lebih baik.

“Pemilihan rubber bladder yang digunakan serta teknologi PAL (Puma Air Lock) memberikan pengekalan udara dan lantunan udara yang lebih tepat sepanjang perlawanan untuk permainan yang mantap dan lancar.

“Disahkan pula oleh FIFA Quality Pro, PUMA ORBITA MFL 1 menjamin kualiti kelas pertama dengan prestasi dan ketepatan yang tiada tandingan di atas padang.

Ia adalah pilihan juara-juara yang akan meletakkan Liga Malaysia dalam musim yang lebih cemerlang kali ini dan bola PUMA Orbita MFL 1 ini boleh didapati secara eksklusif di ACTIVE SPORTS dan kedai PUMA terpilih dengan harga RM599,” kata Ab Ghani lagi.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top