Qabil muncul juara Perlumbaan 2 ESBK Talent di Litar Jerez pada Ahad.
PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan berada dalam kelas tersendiri apabila mengungguli Perlumbaan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Talent 2025 di Litar Jerez pada Ahad.
Ia merupakan kejuaraan berganda buat pelumba berusia 13 tahun itu selepas menjuarai Perlumbaan 1 pada Sabtu untuk memastikan Lagu Negaraku terus berkumandang di bumi Sepanyol.
Sebelum tiba di garisan penamat, Qabil disaing sengit pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez yang terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, Andres Garcia pula di kedudukan ketiga.
“Alhamdulillah. Saya amat gembira kerana dua kali berjaya memenangi perlumbaan di sini,” katanya.
Pelumba kelahiran Terengganu itu bermula di petak pertama tidak diberi laluan mudah oleh Rodriguez apabila saling bertukar posisi pendahulu sepanjang saingan.
Namun Qabil yang beraksi bersama pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly membuktikan kehebatannya menamatkan perlumbaan 14 pusingan itu sebagai pemenang dengan catatan 26 minit 08.299 saat (s).

Qabil menjuarai Perlumbaan 2 ESBK Talent di Litar Jerez pada Ahad. Foto FB ZK Racing.
Qabil yang terkenal dengan gelaran ‘Budak Nombor 4’ hanya dibezakan 0.403s dengan Rodriguez, manakala Garcia melepasi garisan penamat selepas 12.562s.
“Terima kasih kepada pasukan yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik untuk saya,” ujar Qabil.
Pusingan kedua ESBK Talent dijadual berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol bermula 19 hingga 22 Jun depan.