Rahim Omar perjelas isu tunggakan sewa rumah

Rahim Omar perjelas isu tunggakan sewa rumah


KUALA LUMPUR: Pelakon Rahim Omar tampil menjelaskan bahawa dia tidak pernah berniat melarikan diri daripada tanggungjawab untuk melunaskan bayaran rumah sewa tertunggak.

Namun katanya, akibat berdepan fasa sukar dalam kehidupan,  tidak mempunyai sebarang tawaran lakonan selama enam hingga tujuh bulan sehingga menjejaskan sumber pendapatannya mengakibatkan tunggakan sebanyak RM7,000 belum dapat dilunaskan.

“Waktu itu saya memang susah, tak ada job.

Tahun lepas, dalam enam hingga tujuh bulan saya hilang sumber pendapatan. saya terima bantuan zakat sebanyak RM800, yang mana perlu saya tambah kira-kira RM300 untuk menampung kehidupan.

“Tapi masa tu, kalau cerita orang macam tak percaya. RM300 pada saya, ketika itu memang susah. Tahun ini Alhamdulillah saya semakin stabil,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan barisan peserta Kilauan Emas Selebriti di Astro, Bukit Jalil semalam.

Sebelum ini, seorang pengguna Threads memuat naik tangkap layar yang mengandungi perbualan bersama Rahim dan mendakwa aktor itu gagal membayar sewa selama dua tahun.

Pelakon filem Takluk: Lahad Datu itu memaklumkan memilih untuk menangguhkan pembayaran buat sementara waktu kerana mahu bersemuka dengan pemilik rumah terlebih dahulu bagi mencari jalan penyelesaian.

“Saya sengaja tak nak bayar penuh, malah bercadang membayar secara ansuran. Saya pergi jumpa dia, tapi pemilik rumah itu sombong. Saya datang jauh untuk berjumpa dan menunggu dia namun dia bersikap sombong.

“Saya datang cari dia, sepatutnya dia cakap elok-elok. Saya berniat untuk selesaikan perkara ini.

“Dia juga selalu menghubungi saya sewaktu saya menjalani penggambaran tetapi saya tak layan kerana saya tak ada jawapan. Saya tunggu bila dah ada (jawapan), saya akan cari dia,” ujarnya.

Bagaimanapun, Rahim kini sedang berusaha untuk menstabilkan semula kewangannya untuk menyelsaikan tunggakan rumah sewa berkenaan.

“Sekarang ini saya baru nak stabilkan semula ekonomi saya. Ditambah pula dengan kerugian yang saya alami mencecah RM500,000, tapi saya simpan sendiri.

“Saya yakin isu ini boleh diselesaikan cuma masalahnya dia tak sabar dan tak faham keadaan kita. Kita bukan sewenang-wenangnya tak bayar.

“Tapi saya yakin dengan rezeki tahun ini, Insya-Allah. Saya akan jumpa dia dan selesaikan (rumah sewa), saya tidak lari,” ujarnya.

Mengulas tentang kenyataan yang dikeluarkan pemilik rumah, Rahim memaklumkan dia tidak kecewa, sebaliknya menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian daripada Allah SWT.

“Saya terima. Demi Allah tak kecewa. Saya cakap dengan isteri dan anak supaya bersabar, ini ujian. Bagi saya Allah nak uji.

Saya perlu hadap. Ini semua aturan Allah. Kita terima, Insya-Allah,” kongsinya.

Sementara Rahim memaklumkan dia sudah tidak lagi menetap di kediaman berkenaan selepas mendakwa telah diminta untuk keluar dari rumah tersebut.

“Dia halau saya. Hari yang dia suruh keluar, macam-macam dia ugut saya tapi saya tak cerita pada orang.

“Tapi Alhamdulillah bila keluar, ada hamba Allah yang tolong bagi rumah yang lebih selesa kepada saya,” katanya lagi.



Source link

OR

Scroll to Top