Isu tunggakan sewa RM7,000: Rahim Omar mengaku belum lunas

Isu tunggakan sewa RM7,000: Rahim Omar mengaku belum lunas


norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun sudah menetap di kediaman lain, pelakon, Rahim Omar, 66, mengakui belum melunaskan tunggakan sewa rumah dianggarkan RM7,000 yang didakwa tidak dibayarnya selama dua tahun.

Rahim mendakwa dia ada berbincang dengan pemilik rumah terbabit sebelum ini bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu tunggakan bayaran sewa berkenaan.

Bagaimanapun, dia mendakwa tidak dilayan dengan baik oleh individu terbabit pada ketika status kewangannya tidak stabil akibat tiada ‘jobs’.

“Saya ada pergi jumpa dia (pemilik rumah), namun dia bersikap sombong. Saya sanggup datang dari jauh-jauh untuk berjumpa dan menunggu dia, tetapi cara dia bercakap dengan saya itu agak sombong.

“Sepatutnya boleh sahaja dia cakap elok-elok, sebab niat saya datang untuk bertemu kerana nak selesaikan (tunggakan sewa rumah).

“Pada masa itu, kalau cerita pada orang pun, macam tidak percaya sebab saya nak dapat duit memang susah,” katanya.

Rahim berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengenalan peserta program Kilauan Emas Selebriti di Astro, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Sebelum ini, pernah ‘tular’ di media sosial apabila Rahim didakwa gagal membayar sewa rumah didudukinya selepas didedahkan seorang pengguna Threads yang memuat naik tangkap layar perbualan mereka.

“Saya tidak pernah berniat nak melarikan diri daripada tanggungjawab membayar sewa rumah itu. Cuma pada tahun lepas, saya memang tiada ‘job’ berlakon selama enam hingga tujuh bulan.

“Saya hanya duduk di rumah sebab berdepan fasa sukar kerana tiada tawaran lakonan. Anak saya ada dapat bantuan zakat sebanyak RM800 setiap bulan, jadi saya kena tambah RM300 lagi (untuk bayar sewa).

“Sumber pendapatan saya terjejas dan jumlah tunggakan sewa sudah RM7,000. Waktu itu memang saya susah sangat, sebab nak dapatkan RM300 pun susah,” katanya mengenai masalah kewangan dihadapi.

Apa pun, Rahim memaklumkan dia kini sengaja masih tidak mahu membayar sewa rumah tertunggak itu walaupun ada bercadang ingin cuba melunaskannya secara sedikit-sedikit hingga selesai.

Mengakui reda berhadapan ujian hebat pada usia ’emas’, Rahim mahu tenang kerana isteri dan anak memintanya terus bersabar menghadapi dugaan mengikut aturan Allah SWT.

Rahim juga menjelaskan dia kini masih berusaha untuk menstabilkan semula kewangannya dan bersyukur mula mendapat tawaran berlakon serta yakin akan dapat menyelesaikan isu bayaran sewa tertunggak itu.

Mulai 22 Ogos ini, Rahim menjadi salah seorang peserta Kilauan Emas Selebriti yang akan berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membabitkan 10 peserta bertanding.

Selain Rahim, sembilan lagi peserta ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Rashan Baba, Zila Bakarin, Amyza Aznan, Khaty Azean, Maria Tunku Sabri, Mubarak Majid dan Fazlina Ahmad Daud.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top