DALAM Islam, bulan Zulhijjah amat sinonim dengan dua ibadah agung iaitu menunaikan haji di Makkah dan melaksanakan ibadah korban.
Kedua-dua ibadah tersebut menuntut pengorbanan fizikal, spiritual dan material yang besar. Bagi mereka yang terpilih sebagai duyufurrahman dan direzekikan menumpahkan darah haiwan korban, ibadah ini menjanjikan limpahan pahala yang tidak bertepi di sisi ALLAH SWT.
Namun, bagaimana pula dengan sebahagian daripada umat Islam yang masih belum berpeluang menunaikan haji?
Malah, ada antara mereka kini sedang bergelut dengan kekangan kewangan akibat himpitan kos sara hidup yang semakin mencabar.
Pada hari ini, kos ibadah haji mencecah puluhan ribu ringgit, manakala harga bagi satu bahagian lembu korban tempatan berkisar antara RM700 hingga RM950.
Persoalannya, adakah pintu rahmat Zulhijjah ini tertutup rapat jika kita tidak mampu terbang ke Makkah mahupun membayar bahagian korban?
Bagi mereka yang belum direzekikan untuk melaksanakan dua ibadah tersebut pada tahun ini, ada sinar gembira yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW.
Terdapat ruang dan peluang yang luas untuk sesiapa sahaja merebut pahala setara ibadah haji dan korban tanpa memerlukan modal wang ringgit yang besar. Antaranya ialah:
1 – Menjaga rambut dan kuku
Individu yang melakukan ibadah korban disunatkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai solat sunat Aidiladha.
MEREKA yang tidak melakukan ibadah korban, boleh merapikan rambut dan kuku mereka pada Hari Raya Aidiladha. Foto Canva
Bagaimanapun, bagi mereka yang tidak berkemampuan tetapi berniat kuat untuk berkorban, Rasulullah SAW memberikan alternatif untuk merapikan diri pada hari raya Aidiladha menerusi sabdanya: “Kamu hendaklah memotong rambutmu, memotong kuku, merapikan misai dan mencukur bulu kemaluan. Itulah korbanmu di sisi ALLAH TAALA” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Hadis ini menunjukkan bahawa amalan menjaga kebersihan diri pada hari raya bagi yang tidak mampu turut diganjari pahala korban di sisi ALLAH SWT.
2 – Berpuasa
Pelaburan pahala tanpa kos kewangan juga dapat diperolehi melalui amalan puasa sunat pada 9 Zulhijjah.
Rasulullah SAW bersabda: “Puasa Hari Arafah, aku berharap kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim).
Di samping itu, umat Islam juga digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah pada hari ini dan merebut peluang keemasan untuk memohon keampunan daripada ALLAH SWT.
Meskipun jasad tidak berada di Padang Arafah untuk berwukuf, pintu rahmat dan ganjaran luar biasa ini tetap terbuka luas buat setiap hamba-Nya.
3 – Berzikir
Tiada peluang melaungkan Talbiyah di Tanah Suci Makkah bukan alasan untuk kita sepi tanpa ibadah.
Lantunan zikir seperti tasbih, tahmid, tahlil, takbir boleh diperbanyakkan sepanjang sepuluh hari awal Zulhijjah walaupun kita berada di Malaysia.
Malahan, tuntutan berzikir ini berterusan sehingga Hari Tasyrik iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah seperti sabda Rasulullah SAW: “Hari-hari Tasyrik adalah hari untuk makan, minum dan berzikir mengingati ALLAH.” (Hadis Riwayat Muslim)

BANYAKKAN berzikir kepada ALLAH bermula 1 Zulhijjah untuk mendapatkan ganjaran yang besar pada bulan ini. Foto Canva
4 – Bersedekah
Amalan sedekah pada 10 hari awal Zulhijjah merupakan amalan soleh yang paling dicintai ALLAH SWT yang melangkaui pahala jihad berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada hari yang amalan soleh padanya lebih dicintai oleh Allah melainkan pada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).”Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, walaupun berjihad di jalan ALLAH?” Baginda menjawab: “Walaupun berjihad di jalan ALLAH, melainkan seorang lelaki yang keluar berjuang dengan jiwa dan hartanya, kemudian dia tidak kembali lagi dengan membawa sesuatu pun (gugur syahid).” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Sekiranya tidak berkemampuan untuk membayar satu bahagian haiwan korban, ia boleh digantikan dengan membeli daging atau makanan mengikut bajet yang ada untuk disedekahkan kepada jiran atau asnaf pada hari raya.
5 – Berjemaah Subuh, berzikir dan solat sunat Isyraq
Pahala setara ibadat haji yang sempurna juga boleh dituai dengan kaedah melazimi solat Subuh berjemaah, diikuti duduk berzikir mengingati Allah sehingga terbit matahari dan disudahi dengan solat sunat Isyraq sebanyak dua rakaat.
Ini adalah bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa yang solat Subuh berjemaah kemudian dia duduk berzikir kepada ALLAH hingga matahari terbit, lantas solat dua rakaat, maka baginya seperti pahala haji dan umrah yang sempurna, sempurna, sempurna.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
6 – Menuntut ilmu di masjid
Tanpa sebarang kos, langkah kaki ke masjid untuk menuntut ilmu atau mengajar ilmu agama juga menyamai ganjaran pahala haji yang sempurna.
Terdapat sebuah hadis riwayat At-Tabarani iaitu sabda Rasulullah: “Sesiapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.”
Melalui amalan ini, pengorbanan masa dan tenaga sepanjang berada dalam majlis ilmu di masjid adalah setara dengan pengorbanan harta mereka yang mampu terbang ke Mekah.
Sebagai penutupnya, bulan Zulhijjah bukanlah eksklusif untuk golongan berkemampuan sahaja.
Hakikatnya, rahmat dan kasih sayang ALLAH itu Maha luas dan DIA tidak pernah meminggirkan hamba-NYA yang sedang diuji dengan kesempitan kewangan.

MEREKA yang tidak melakukan ibadah korban, boleh merapikan rambut dan kuku mereka pada Hari Raya Aidiladha. Foto Canva
Pada musim ini, pengorbanan sebenar sebahagian daripada kita mungkin terletak pada titisan keringat kesabaran dan keredaan dalam mendepani ujian hidup.
Biarpun tanpa lambaian di Kaabah dan tanpa darah sembelihan di bumi sendiri, pintu langit ALLAH tetap terbuka luas untuk menerima takwa daripada hamba-NYA.
***Penulis, DR NORHASNIRA IBRAHIM merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).





