MUSIM haji bukan sekadar perjalanan fizikal menuju bumi suci, bahkan sebuah madrasah tarbiah yang membentuk jiwa, menyucikan hati serta menghidupkan kembali kesedaran tauhid dalam diri seorang Muslim.
“Di tengah jutaan manusia yang berhimpun di Tanah Suci, terselit satu mesej besar yang harus dibawa pulang iaitu umat Islam mesti kembali bersatu atas dasar iman dan ketaatan kepada ALLAH SWT,” ungkap pentadabbur, Dr Mohd Shafiq Sahimi.
Beliau berkata demikian ketika menghuraikan ayat-ayat al-Quran daripada surah al-Muzammil dan surah al-Hajj dalam program Arafah #QuranHour: The Chosen One yang disiarkan secara langsung melalui platform digital Sinar Harian sempena Hari Arafah.
Menurutnya, ALLAH menutup surah al-Hajj dengan mesej yang sangat mendalam setelah awalnya DIA menggambarkan kedahsyatan hari kiamat, suasana kebangkitan dan goncangan besar menggugat manusia.
Ujarnya, pada bahagian akhir surah, ALLAH mengingatkan tentang golongan yang akan dipilih untuk memperoleh keselamatan di akhirat.
“ALLAH SWT menegaskan keesaan dan keagungan-NYA, di samping memperlihatkan kelemahan segala sesuatu yang disembah selain-Nya.
“Dalam satu gambaran yang sangat kuat, ALLAH menyebut berhala dan sembahan selain-NYA begitu lemah sehingga jika seekor lalat mengambil sesuatu daripadanya, ia tidak mampu mengambil kembali apa yang hilang.
DR MOHD SHAFIQ
“Gambaran ini mengajar manusia bahawa hanya ALLAH iaitu Tuhan yang MAHA AGUNG, MAHA BERKUASA dan MAHA SEMPURNA tempat pergantungan segala makhluk,” jelasnya.
Haji bukan penamat
Sambungnya, kesedaran tauhid inilah menjadi roh utama ibadah haji dan apabila seorang Muslim dipilih menjadi tetamu ALLAH, dia sebenarnya sedang melalui proses penyucian jiwa.
“Rasulullah SAW bersabda sesiapa yang menunaikan haji tanpa melakukan perkara keji dan fasik, maka dia kembali seperti bayi yang baru dilahirkan iaitu bersih daripada dosa.
“Namun, persoalan yang lebih besar ialah: Apa yang perlu dilakukan selepas pulang daripada Tanah Suci?” soalnya.
Jelasnya, haji tidak seharusnya menjadi episod spiritual yang berakhir di lapangan terbang saat jemaah tiba di tanah air, sebaliknya ia mesti diterjemahkan dalam bentuk perubahan diri dan tanggungjawab sosial.
“Lihat sahaja suasana di Makkah dan Arafah. Jutaan manusia berhimpun daripada pelbagai bangsa, warna kulit, bahasa dan budaya. Mereka datang dengan latar kehidupan yang berbeza, tetapi berdiri dalam satu saf tauhid sama.

SEBAHAGIAN peserta dalam Arafah #QuranHour: The Chosen One anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Studio MQT, Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini. Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
“Mereka berkiblatkan kiblat yang sama, bertuhankan Tuhan yang sama, mengikuti rasul yang sama dan berpedomankan kitab yang sama iaitu al-Quran.
“Hakikat ini menimbulkan satu persoalan besar: Jika segala asas penyatuan sudah ada, mengapa umat masih berpecah?” soal Dr Shafiq lagi.
Menyambung hujah, beliau menjelaskan, perbezaan kecil yang bersifat cabang terutamanya dalam perkara khilaf yang tidak menyentuh asas akidah, tidak sewajarnya menjadi punca permusuhan dan perpecahan.
“Umat Islam sepatutnya belajar daripada pengalaman haji iaitu kesatuan lebih utama daripada pertelingkahan yang memecahkan kekuatan ummah.
“Justeru, mereka yang kembali daripada Arafah bukan sekadar pulang dengan gelaran haji atau hajah, tetapi membawa misi besar sebagai duta penyatuan umat.
“Mereka harus menjadi suara yang mendamaikan masyarakat, memperkukuhkan ukhuwah dan menyeru manusia kembali kepada nilai tauhid serta akhlak Islam,” ungkapnya.
Terus istiqamah selepas pulang
Dalam penghujung surah al-Hajj juga, ALLAH SWT menyeru orang beriman agar terus rukuk dan sujud kepada-NYA serta melakukan amal soleh.
“Seruan ini memberi isyarat bahawa istiqamah adalah ukuran sebenar kejayaan spiritual. “Apa yang dilatih di Tanah Suci tidak boleh terhenti apabila pulang. Solat berjemaah, sedekah, membaca al-Quran, menghadiri majlis ilmu dan imarah masjid perlu diteruskan dengan lebih konsisten.
“Jika ketika di Masjidil Haram seseorang sanggup bangun awal untuk beribadah, mengapa semangat itu luntur setelah kembali ke tanah air?” soalnya.
Ujar beliau lagi, umat Islam bukan diciptakan hanya untuk beribadah secara individu tanpa peduli keadaan masyarakat kerana Islam melahirkan umat yang bergerak dengan membina, membimbing dan menyumbang.

DR MOHD SHAFIQ (kiri) ketika menjadi pentadabbur dalam Arafah #QuranHour: The Chosen One bersama Ustaz Fazrul Ismail (tengah). Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
“Hubungan dengan ALLAH perlu diterjemahkan dalam bentuk dakwah, perjuangan, pendidikan serta usaha memperbaiki masyarakat.
“Syurga tidak dibeli dengan kerehatan semata-mata. Ia menuntut pengorbanan, kesungguhan dan perjuangan.
“Dakwah memerlukan kesabaran, ukhuwah menuntut pengorbanan, penyatuan ummah pula perlu kebesaran jiwa menerima perbezaan,” jelasnya.
Oleh sebab itu katanya, mereka menjadi pilihan ALLAH mendekati masjid, mempelajari al-Quran dan mendukung agama adalah satu amanah besar.
“Muslim bukan sekadar identiti, tetapi tanda pengabdian seorang hamba yang menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada kehendak ALLAH SWT.
“Maka selepas haji, perjalanan sebenar baru bermula. Pulanglah sebagai insan yang lebih dekat dengan-NYA, lebih lunak dengan manusia dan lebih bersedia memikul tanggungjawab menyatukan ummah demi mencari reda ALLAH SWT,” pesannya.





