HARI ARAFAH bukan sekadar detik kemuncak ibadah haji, bahkan ia merupakan medan muhasabah besar buat umat Islam sedang wukuf di Padang Arafah atau di tanah air.
Pentadabbur Arafah #QuranHour, Ustaz Fazrul Ismail menjelaskan, surah al-Muzzammil dan surah al-Hajj membawa beberapa resolusi kehidupan seorang mukmin:
1 – Bina jiwa hamba melalui rukuk dan sujud
Antara pengajaran besar pada penghujung surah al-Hajj ialah seruan ALLAH agar orang beriman terus rukuk, sujud dan beribadah kepada-NYA.
Hakikatnya, semakin seseorang itu tunduk dalam rukuk dan sujud, semakin lahir sifat rendah diri dalam menghadapi cabaran kehidupan. Dalam realiti hidup, manusia tidak terlepas daripada ujian, tekanan, kegelisahan mahupun konflik.
Namun Islam mengajar, memohon pertolongan bukanlah semata-mata melalui kekuatan diri, tetapi dengan kembali kepada ALLAH melalui sabar dan solat.
2 – Sedar dipilih pikul amanah
Pada ayat terakhir surah al-Hajj, ALLAH SWT menggunakan ungkapan huwajtabakum yang membawa maksud ‘Dia memilih kamu’.
USTAZ FAZRUL
Pemilihan ini bukan hanya untuk para jemaah haji, bahkan menjadi peringatan kepada seluruh umat Islam bahawa kehidupan ini ialah satu amanah besar.
Dipilih Allah bukan bermaksud seseorang bebas daripada ujian atau boleh bersenang-lenang tanpa tanggungjawab, sebaliknya ia hadir bersama tugas sebagai khalifah di muka bumi iaitu membina masyarakat, menyebarkan kebaikan dan hadapi ujian dengan penuh tanggungjawab.
3 – Takwa sebagai roh ibadah
Hari Arafah juga mengingatkan manusia segala amal ibadah perlu dipandu nilai takwa. Bagi para jemaah haji, sama ada ketika di Arafah, Mina atau Muzdalifah, kepenatan fizikal tidak sepatutnya menghilangkan tujuan sebenar ibadah.
Semua itu mempunyai roh yang lebih besar iaitu membersihkan hati daripada sifat buruk dan mendekatkan diri kepada ALLAH.
Takwa menuntut hati sentiasa hidup dan sedar bahawa setiap ibadah ialah proses pendidikan jiwa agar manusia kembali mengenali ALLAH sebagai sebaik-baik pelindung dan penolong.
4 – Teruskan momentum kemanisan pergantungan kepada ALLAH
Penghujung surah al-Hajj membawa ungkapan yang sangat indah: fani‘mal maula wa ni‘man nasir – Dialah sebaik-baik pelindung dan penolong.
Bagi para jemaah haji, pengalaman diuji dengan kesesakan, kepenatan, beratur panjang, kelewatan perjalanan atau pelbagai kesukaran sering disulami pertolongan yang hadir tanpa disangka.

USTAZ FAZRUL (kiri) menjadi pentadabbur bersama Dr Mohd Shafiq (tengah). Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ada tangan membantu, ada urusan dipermudahkan dan ada ketenangan hadir di tengah kesusahan. Detik-detik seperti itu melahirkan rasa manis bahawa ALLAH benar-benar menjaga hamba-Nya.
Namun, kemanisan tersebut tidak seharusnya berhenti di bumi suci sahaja. Ia perlu dibawa pulang ke dalam kehidupan harian.
Ketika diuji di tempat kerja, dalam rumah tangga, urusan kewangan atau konflik kehidupan, seorang Mukmin perlu terus berpaut kepada ALLAH dengan keyakinan pertolongan-NYA sentiasa dekat.
5 – Jadi khalifah pembawa rahmah
Resolusi terbesar yang boleh dibina daripada surah al-Muzzammil dan surah al-Hajj ialah mengukuhkan peranan sebagai khalifah yang membawa rahmat kepada manusia.
Dalam dunia yang sarat dengan pertelingkahan, kebencian dan konflik, umat Islam dipanggil menjadi saksi kepada manusia bahawa agama ini hadir dengan jiwa kasih sayang dan kesejahteraan.
Apabila seseorang sentiasa merasai dirinya diampunkan ALLAH, dia akan lebih mudah memaafkan manusia lain. Dia sedar bahawa dirinya juga penuh kelemahan dan tidak layak menjadi penghukum kepada orang lain.
Justeru, jiwa yang menerima rahmah daripada ALLAH akan terdorong untuk menyebarkan rahmah kepada manusia dengan memaafkan, berlapang dada, menenangkan pertelingkahan dan menyuburkan kasih sayang dalam masyarakat.
IKRAR ARAFAH #QURANHOUR
Labbaikallahumma labbaik,
Labbaikala syarikalaka labbaik,
Innal hamda wannikmata,
Lakawal mulk la syarikalak.
Bismillahir rahmanir rahim.
Dengan nama ALLAH yang MAHA PEMURAH lagi MAHA PENYAYANG.
Bahawasanya kami berhimpun pada Hari Arafah yang mulia ini,
Dengan jiwa yang berserah di hadapanmu ya ALLAH,
Membawa harapan taubat dan penghambaan yang tulus.

SEBAHAGIAN tetamu khusyuk mendengar tadabbur ayat-ayat al-Quran dalam Arafah #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di Studio MQT, Karangkraf di Shah Alam sempena Hari Arafah. Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Kami berikrar:
Untuk menjadi hamba pilihanmu, The Chosen One, Untuk memikul amanah iman dan perjuangan di jalanmu berpandukan prinsip berikut:
– Membina jiwa melalui qiamullail dan tilawah al-quran dengan tartil.
– Menjadi hamba yang kuat, sabar dan teguh menghadapi ujian kehidupan.
– Menghidupkan nilai takwa dalam setiap ibadah dan tindakan.
– Memelihara solat, menyempurnakan zakat dan berjihad di jalan ALLAH.
– Menjadikan ibadah haji dan korban sebagai manifestasi ketakwaan kepada ALLAH SWT.
Kami sedar bahawa haji mendidik kami bukan untuk diam,
Tetapi untuk terus bergerak, berjihad dan melakukan kebaikan di jalan-MU,
Sesungguhnya solat kami, ibadah kami, hidup kami dan mati kami, hanyalah untuk-MU Tuhan sekalian alam.
Taqabbal minna ya ALLAH, taqabbal mina ya RAHMAN, taqabbal minna ya RAHIM.





