Rangka manusia dalam loji kumbahan

Rangka manusia dalam loji kumbahan



am@hmetro.com.my

Kota Tinggi : Polis mengesahkan penemuan satu rangka manusia ditemui di loji kumbahan di Taman Seri Penawar, Bandar Penawar di sini.

Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan pada semalam mengenai penemuan objek menyerupai tulang manusia oleh kontraktor yang menjalankan kerja pembersihan di lokasi berkenaan.

Katanya susulan dari laporan polis tersebut, pihaknya dibantu unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor ke lokasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai kain pelikat tersangkut pada mesin kisar tapis sampah.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Penawar memberikan bantuan mengeluarkan rangka serta tulang yang ditemui tersangkut di tengah mesin kisar tapis sampah itu.

“Hasil pemeriksaan menyeluruh yang dibuat di lokasi kejadian, pihak polis menjumpai satu tengkorak, tujuh ketul tulang panjang, sepasang tulang pinggul dan segumpal rambut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Yusof, spesimen tulang telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasi sebagai laporan mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperolehi.

“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Asnalisz Zainal di talian 016-444 6871 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis daerah Kota Tinggi ditalian 07-883 7222,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top