IMPIAN Marcus Rashford untuk menyarung jersi Barcelona semakin hampir menjadi kenyataan apabila satu persetujuan secara prinsip telah dicapai bagi perpindahan secara pinjaman ke juara La Liga Sepanyol itu.
Penyerang Manchester United itu sebelum ini menyuarakan keinginan untuk mencari cabaran baharu selepas digugurkan pengendali The Red Devils, Ruben Amorim, pada Disember lalu dengan Barcelona kekal menjadi destinasi pilihannya.
Menurut laporan media tempatan, rundingan melibatkan ejen perantara telah berlangsung dan satu persetujuan lisan telah dicapai bagi perpindahan secara pinjaman dengan pilihan untuk pembelian tetap.
Barcelona sebelum ini hampir mendapatkan khidmat penyerang sayap Sepanyol, Nico Williams, namun pemain berusia 22 tahun itu akhirnya menandatangani kontrak baharu selama 10 tahun bersama Athletic Bilbao.
Rashford, 27, menghabiskan separuh kedua musim lalu secara pinjaman bersama Aston Villa, dengan mencatat 17 penampilan dalam semua kejohanan, menjaringkan empat gol dan mencipta enam bantuan jaringan.
Beliau kini antara lima pemain United, bergaji tertinggi, diarahkan menjalani latihan berasingan susulan konflik dalaman mengenai masa depan masing-masing bersama kelab.
Difahamkan Rashford juga sudah tidak lagi percaya akan berpeluang beraksi selagi Amorim mengemudi skuad Red Devils.
Perpindahan Rashford ke Barcelona dilihat sebagai berita baik buat United yang sedang dalam proses memperkukuh pasukan Amorim, terutama selepas mereka memperuntukkan lebih £130 juta (RM740 juta) untuk mendapatkan Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo.
Difahamkan sebarang pembelian baharu perlu dibiayai melalui penjualan pemain.
Walaupun perpindahan Rashford hanya secara pinjaman, penjimatan gaji yang dihasilkan tetap besar memandangkan beliau menerima £325,000 (RM1.85 juta) seminggu, kedua tertinggi selepas Casemiro.
Pengarah sukan Barcelona, Deco, sebelum ini turut menyatakan kekaguman terhadap Rashford dan pemain sayap Liverpool, Luis Diaz.
“Apabila kami turun ke pasaran, sudah tentu ada nama-nama yang kami kenal dan yakin boleh memperkuatkan pasukan. Kami sukakan Luis, kami sukakan Rashford dan ada beberapa lagi yang kami pertimbangkan,” kata Deco kepada stesen radio tempatan pada Mei lalu.
Dalam satu temu bual bulan lalu, Rashford sendiri melahirkan keinginan untuk bermain bersama bintang remaja sensasi Barcelona, Lamine Yamal.
“Semua orang mahu bermain dengan pemain terbaik. Harapnya. Kita tengok nanti,” ujar penyerang England itu.
Kontrak Rashford bersama United hanya akan tamat pada Jun 2028, namun beliau belum diberikan nombor skuad untuk musim baharu dan turut ditinggalkan di Carrington ketika pasukan utama ke Sweden bagi aksi pramusim yang berakhir seri 0-0 menentang Leeds United pada Sabtu.
Rashford merupakan produk akademi Manchester United dan membuat penampilan sulung pada Februari 2016 ketika berusia 18 tahun di bawah kendalian Louis van Gaal.
Sehingga kini, beliau telah menjaringkan 138 gol dalam 426 penampilan bersama kelab itu, namun tidak lagi beraksi sejak dikeluarkan pada separuh masa dalam aksi kemenangan 2-1 ke atas Viktoria Plzen dalam saingan Liga Europa pada 12 Disember lalu.
Amorim ketika itu menggugurkan Rashford daripada skuad liga untuk aksi derbi menentang Manchester City di Etihad dan secara terbuka menyatakan rasa tidak puas hati terhadap komitmen Rashford serta rakan sepasukannya, Alejandro Garnacho, ketika sesi latihan.
Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, Rashford bakal menyertai skuad Barcelona yang menamatkan musim lalu dengan kejuaraan liga dan Piala Raja Sepanyol di bawah bimbingan pengendali, Hansi Flick.