September 8, 2024

Realisasi JS-SEZ dengan cukup tenaga kerja, infrastruktur, dasar mesra pelabur

Realisasi JS-SEZ dengan cukup tenaga kerja, infrastruktur, dasar mesra pelabur


JOHOR BAHRU – Menyediakan cukup tenaga kerja, memudahkan urus niaga dan perhubungan yang baik adalah antara perkara utama sedang diusahakan dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin, menerusi usaha itu pembangunan JS-SEZ akan dapat direalisasi terutama berdasarkan beberapa faktor.

Antaranya kata beliau, kedudukan geografi Johor yang kukuh selain infrastruktur melibatkan pelabuhan, lapangan terbang dan jalan raya sedia ada yang lengkap serta dasar mesra pelabur.

Jelas Onn Hafiz, perkara tersebut disentuh dan dikongsikan dalam Forum Pelaburan JS-SEZ di Kuala Lumpur semalam.

“Saya juga berkongsi mengenai gerak kerja JS-SEZ yang kini dalam fasa akhir perbincangan dan dijangka akan dimuktamadkan pada September 2024. Jutaan terima kasih kepada semua kementerian dan agensi terlibat dalam pembangunan JS-SEZ,” ujar beliau dalam hantaran terbaharu menerusi Facebook miliknya hari ini.

Onn Hafiz berkata, forum tersebut yang menghimpunkan kira-kira 200 pemegang taruh adalah bagi membincangkan mengenai peluang, cabaran, strategi serta kerjasama yang boleh dijalinkan secara bersama-sama bagi melaksanakan kerangka JS-SEZ.

“Menerusi forum ini, saya turut berkongsi bahawa Johor berhasrat menjadi ‘The Next Shenzhen of Southeast Asia’. Mengambil kisah kejayaan bandar metropolis Shenzhen sebagai ‘role model’, Johor bersedia mentransformasikan negeri ini menjadi sebuah negeri yang setanding dengan kejayaan Shenzhen.

“Penyediaan peluang pekerjaan dengan gaji yang tinggi buat rakyat Johor dan Malaysia secara keseluruhan, peningkatan pendapatan isi rumah, menggalakkan pertumbuhan ekonomi, serta merapatkan jurang taraf hidup rakyat juga menjadi fokus utama,” katanya.

JS-SEZ akan meliputi seluruh kawasan Iskandar Malaysia termasuk kawasan di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pengerang dengan keseluruhan keluasan 3,505 kilometer persegi.

JS-SEZ merangkumi kawasan di bawah enam pihak berkuasa tempatan di Johor iaitu Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai, Majlis Perbandaran Pengerang dan sebahagian daripada Majlis Perbandaran Pontian.

JS-SEZ kini di peringkat akhir rundingan, membuka laluan untuk perjanjian bersama yang dijangka ditandatangani pada September ini.

Kerajaan Johor dan Persekutuan sedang bekerjasama untuk memastikan JS-SEZ mampu menarik pelabur global terutama melibatkan ekuiti persendirian dan modal teroka. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top