Rio Ngumoha yang berusia 16 tahun dan 361 hari muncul wira Liverpool apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-100 di St James’ Park. Foto Agensi
RIO Ngumoha muncul wira sensasi Liverpool apabila menjaringkan gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan untuk menewaskan Newcastle United 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James’ Park, awal pagi Selasa.
Ngumoha yang berusia 16 tahun 361 hari, meledak gol pada minit ke-100, sekali gus menjadikannya penjaring termuda dalam sejarah Liverpool serta antara yang termuda mencatat gol kemenangan dalam saingan EPL.
Liverpool terlebih dahulu berada di depan hasil rembatan jarak jauh Ryan Gravenberch sebelum Hugo Ekitike menambah jaringan.
Namun, Newcastle yang beraksi di laman sendiri tidak mudah mengalah apabila Bruno Guimarães dan Will Osula menyamakan kedudukan.
Harapan tuan rumah untuk bangkit musnah selepas Anthony Gordon dilayangkan kad merah kerana terjahan keras terhadap Virgil van Dijk, sekali gus memaksa Newcastle menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.
Detik bersejarah tercipta apabila Ngumoha yang membuat penampilan sulung EPL, memanfaatkan kekalutan di hadapan gawang lawan untuk menjaringkan gol penentu kemenangan hanya beberapa saat sebelum wisel penamat.
Pengurus The Reds, Arne Slot jelas bangga dengan keberanian ditampilkan Ngumoha.
“Dia menunjukkan dirinya di pentas yang besar ketika tekanan begitu tinggi. Ketenangan yang dimilikinya untuk menyempurnakan peluang pada detik itu sangat luar biasa.
“Pada usia semuda itu, dia sudah membuktikan dia harus terus terlibat dengan pasukan ini,” kata Slot.
Sementara itu, legenda Newcastle, Alan Shearer menggelar kad merah Gordon sebagai “tackle bodoh” yang merugikan pasukan tuan rumah.
Kemenangan itu menyaksikan Liverpool mengekalkan rekod sempurna tiga kemenangan daripada tiga perlawanan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di kelompok teratas liga bersama Arsenal dan Tottenham Hotspur.