Remaja Rohingya Buang Janin Dari Tingkap Hotel

Remaja Rohingya Buang Janin Dari Tingkap Hotel

Remaja Rohingya Buang Janin Dari Tingkap Hotel


Misteri penemuan janin dalam bungkusan plastik hitam berhampiran Taman Nusa Idaman, Johor Bahru, awal bulan ini akhirnya terungkai apabila polis mendedahkan ia dibuang dari tingkap sebuah bilik hotel oleh seorang remaja perempuan Rohingya selepas melahirkannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, siasatan mendapati janin yang ditemukan pada 5 Julai lalu itu merupakan anak kepada suspek berusia 19 tahun hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya.

Menurutnya, suspek melahirkan janin berkenaan di dalam tandas bilik hotel sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik hitam.

“Siasatan mendapati suspek telah melahirkan bayi tersebut di dalam tandas bilik hotel berdekatan sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik warna hitam.

“Remaja itu kemudian membuangnya melalui tingkap bilik di tingkat dua hotel ke lorong di bawah bangunan hotel iaitu lokasi bayi itu ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan janin berkenaan pada jam 2.39 pagi, 5 Julai lalu.

Katanya, hasil tindakan pantas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun bersama remaja terbabit berjaya ditahan di sebuah hotel di kawasan Bukit Indah kira-kira jam 4 pagi hari yang sama.

Menurutnya, keputusan saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka negatif dadah.

Semakan rekod pula mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah, manakala remaja terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, jelasnya.

Kumarasan berkata, hasil siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor yang mengarahkan remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Suspek lelaki pula dijadikan sebagai saksi pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, remaja terbabit akan didakwa di Mahkamah Johor Bahru hari ini.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak mengikut emosi dan tidak terjebak dengan perlakuan jenayah serta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa, tegasnya.






Source link

OR

Scroll to Top