Paris: Herve Renard sedang berunding untuk kembali sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Arab Saudi, menurut sumber dekat dengan persatuan itu yang memberitahu AFP pada hari Jumaat.
“Berita ini akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang selepas prosedur kontrak diselesaikan secara rasmi,” kata sumber tersebut.
Renard membawa Arab Saudi meraih kemenangan mengejut ke atas juara, Argentina, di Piala Dunia 2022, tetapi beliau meninggalkan jawatan itu pada Mac tahun lalu untuk mengambil alih pasukan wanita Perancis.
Jurulatih berusia 56 tahun itu meletak jawatan dari peranannya pada bulan Ogos selepas Perancis tersingkir di suku akhir kalah di tangan Brazil di Olimpik Paris.
Roberto Mancini dari Itali mengambil alih sebagai jurulatih Saudi tetapi beliau meletak jawatan pada hari Khamis selepas 14 bulan akibat keputusan yang buruk.
Mancini, bekas jurulatih Manchester City dan Inter Milan, menerima kritikan selepas kekalahan di laman sendiri kepada Jepun dan keputusan seri dengan Bahrain dalam kelayakan Piala Dunia 2026.
Membangunkan pasukan kebangsaan yang kuat adalah keutamaan bagi Arab Saudi yang kaya dengan minyak, yang membelanjakan lebih dari satu bilion dolar untuk pemain tahun lalu dan juga satu-satunya pemohon untuk Piala Dunia 2034.
© New Straits Times Press (M) Bhd