Dramatis popular, Ellie Suriaty tampil menegur tindakan sesetengah pihak yang gemar menggunakan perkataan ‘retis’ bagi merujuk kepada penggiat seni tanah air.
Kata Ellie, panggilan itu sebagai penghinaan terhadap pekerjaan setiap individu yang bergelar anak seni. Ini kerana, tiada istilah ‘retis’ dalam industri seni kreatif tanah air.
“Dalam industri seni kreatif, tiada istilah pekerjaan ‘retis’. ‘Retis’ itu apa?
“Bagi saya seorang penggiat industri seni kreatif, rujukan artis sebagai ‘retis’ adalah sebuah ejekan yang menjatuhkan maruah insan seni,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Meskipun tidak memperincikan hantaran tersebut ditujukan pada mana-mana pihak tertentu, namun pelakon filem Telaga Suriram itu menegaskan penglibatan setiap artis dalam industri seni tanah air sama seperti pekerjaan lain yang tidak seharusnya diperlekehkan mahupun dipandang rendah oleh seseteng pihak.
“Kami tidak pernah terfikir mahu menyakiti hati hamba-hamba Allah yang lain dengan pekerjaan mereka. Mengapa perlu kamu? Jangan panggil kami ‘retis’,” ujarnya.






