Aaron Chia-Soh Wooi Yik antara beregu negara yang terkandas di suku akhir BAC 2026.
PENGARAH kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky kurang berpuas hati dengan prestasi tiga beregu utama negara dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China pada Jumaat.
Kesemua tiga pasangan nombor satu negara iaitu juara bertahan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir pada saingan suku akhir.
Rexy mengakui, gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju bermain dengan sangat baik sehingga memusnahkan harapan Aaron-Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan selepas tewas 19-21, 28-26, 13-21.
“Mereka (Min Hyuk-Dong Ju) melakukan sedikit kesalahan dan dari segi pertukaran ke corak permainan agresif juga, pihak lawan lebih baik daripada Aaron-Wooi Yik,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan Pearly-Thinaah, naib juara beregu wanita Kejohanan Badminton Dunia 2025 bermain dengan kurang baik pada kelompok lapan terakhir.
Pasangan nombor dua dunia itu tewas kepada gandingan nombor sembilan dunia, Li Yi Jing-Luo Xu Min dari China, 13-21, 15-21.
Berhubung kekalahan Tang Jie-Ee Wei kepada beregu Korea Selatan yang kurang dikenali, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong, 19-21, 17-21, Rexy menyifatkan prestasi juara bertahan dunia itu benar-benar “tidak teratur”.
“Mereka sangat tidak teratur, permainan mereka semua tidak menjadi,” katanya.
Keputusan semalam menandakan Malaysia pulang tanpa sebarang pingat dalam BAC buat kali pertama sejak edisi 2019 di Wuhan, China.- Bernama






