Walaupun sistem kesihatan negara diakui antara yang terbaik dengan kos rawatan rendah di fasiliti kerajaan, masih wujud kelompok masyarakat yang tidak dapat menikmati sepenuhnya perkhidmatan tersebut akibat kekangan akses dan keadaan hidup di jalanan.
Perkara itu dikongsikan dalam OMM Podcast melalui pengalaman Mejar Dr Alifarhan Alimudin (B), 34, yang aktif dalam pasukan Doktor Jalanan merawat komuniti gelandangan di sekitar ibu kota.

Dr Alifarhan berkata, sistem kesihatan Malaysia sebenarnya berada pada tahap baik dengan kos rawatan yang sangat rendah di fasiliti kerajaan.
Namun cabaran utama bukan terletak pada kelemahan sistem itu sendiri, sebaliknya pada kemampuan komuniti gelandangan untuk sampai ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan yang diperlukan.
“Malaysia punya sistem kesihatan antara terbaik di dunia. Kita hanya perlu bayar RM1 untuk pemeriksaan dan kadang RM5 kalau ada prosedur tambahan.
“Jadi dari segi itu memang sangat mampu milik. Cuma isu dia menunggu lama sebab ramai orang guna servis tu,” katanya.


Menurutnya, walaupun perkhidmatan kesihatan tersedia, komuniti gelandangan berdepan kekangan fizikal dan mobiliti yang serius sehingga menyukarkan mereka mendapatkan rawatan seperti orang lain, sekali gus menjadikan kehadiran pasukan turun padang sebagai keperluan mendesak.
“Kita yang sakit boleh naik e-hailing, bawa motosikal atau jalan kaki ke klinik. Tapi gelandangan tak ada semua itu. Nak berjalan pun kadang kaki dah sakit.
“Jadi bukan sistem itu yang tak bagus, tapi kekangan mereka yang buat mereka tak sampai ke fasiliti kesihatan. Sebab itu kita datang terus ke mereka, bantu apa yang perlu di tempat mereka berada,” ujarnya.
Mengulas latar belakang pasukan Doktor Jalanan, Dr Alifarhan berkata, kumpulan itu terdiri daripada beliau sendiri bersama 10 doktor lain yang mempunyai pengalaman dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perbezaan pengalaman itu kemudian digabungkan dalam satu pasukan yang memberi fokus kepada inisiatif kebajikan kesihatan komuniti.

Pasukan tersebut dibentuk selepas mereka keluar daripada perkhidmatan Kementerian Pertahanan (MINDEF), sebelum meneruskan usaha turun padang membantu golongan yang memerlukan.
“Kita keluar dari MINDEF sebab servis kita dalam ATM. Tapi menariknya 11 orang ni semua ada latar berlakang berbeza seperti tentera udara dan laut, ada yang pernah bertugas di Hospital Tuanku Mizan atau pasukan pengaman di Lubnan.
“Bila kita bergabung, ada nilai yang boleh bantu orang dengan cara berbeza. Itu yang buat kerja ini jadi lebih bermakna.
“Kita tahu perjalanan ini susah, tapi kita pilih untuk buka klinik sendiri dan teruskan misi membantu orang. Sekali menjadi doktor, selamanya bergelar doktor,” kata Dr Alifarhan.

Sementara itu, dari segi operasi, beliau memaklumkan bahawa Doktor Jalanan bergerak di bawah Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM).
Ia bergerak dengan kerjasama beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain, termasuk Food For Gelandangan (FFG) yang membantu dari segi bekalan ubat-ubatan, pembalut perubatan serta sokongan logistik untuk kerja-kerja rawatan di lapangan.
“Doktor Jalanan ni di bawah PERDIM dan bekerjsama dengan FFG. Kat situ ada doktor-doktor AM seluruh Malaysia yang bantu dari segi ubat-ubatan dan pembalut perubatan,” kongsinya lagi.

Walaupun bekalan asas masih mencukupi setakat ini, beliau tidak menolak keperluan sokongan berterusan daripada orang ramai dalam bentuk sumbangan perubatan bagi memastikan rawatan kepada komuniti gelandangan dapat diteruskan secara konsisten.
“Kalau ada yang nak bantu, ubat-ubatan atau barang perubatan memang dialu-alukan. Boleh salurkan melalui PERDIM,” jelasnya.






