Rohingya tidak dapat subsidi, dikenakan caj rawatan seperti warga asing lain – Dzulkefly

Rohingya tidak dapat subsidi, dikenakan caj rawatan seperti warga asing lain – Dzulkefly


Putrajaya: Pelarian Rohingya tidak terkecuali daripada caj rawatan dan dikenakan kadar sama seperti warga asing lain di fasiliti kesihatan awam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata warga asing, termasuk Rohingya tidak menerima subsidi rawatan seperti rakyat tempatan dan dikenakan caj lebih tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan.

“Isu berkaitan warga asing tidak diberi subsidi pernah saya jelaskan sebelum ini. Mereka tidak dikecualikan dan dikenakan caj rawatan jauh lebih tinggi daripada rakyat tempatan.

“Contohnya, bagi rawatan pesakit luar pakar, warga asing dikenakan caj RM120 manakala rakyat Malaysia hanya membayar RM5 untuk berjumpa pakar dan RM1 untuk berjumpa doktor,” katanya.

Dzulkefly berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular kos rawatan warga asing termasuk Rohingya yang telah menimbulkan kerisauan rakyat.

Mengulas kos rawatan melibatkan warga asing, Dzulkefly berkata jumlah bil tertunggak menunjukkan trend penurunan, iaitu RM33.46 juta pada 2024 berbanding kira-kira RM35 juta pada 2023 manakala jumlah pada tahun lepas ialah RM30.57 juta.

Beliau berkata KKM tidak mengambil mudah isu tunggakan bayaran dan telah memperketat langkah kutipan termasuk mengenakan deposit sebelum rawatan dalam kes tertentu serta mengambil tindakan susulan terhadap majikan yang gagal menjelaskan kos rawatan pekerja asing.

Selain itu, KKM turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu membiayai rawatan warga asing tidak berkemampuan.

“Sebagai Kementerian Kesihatan, kita mengamalkan dasar kecemasan. Bila mereka datang, kita rawat dahulu, tetapi kita lakukan tindakan susulan untuk mendapatkan bayaran,” katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan kebanjiran Rohingya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan kebelakangan ini, Dzulkefly berkata KKM tidak mengesan sebarang lonjakan luar biasa setakat ini.

“Saya tidak melihat sesuatu yang melebihi paras biasa. Mungkin persepsi ketika ini banyak tertumpu kepada Rohingya, tetapi tiada lonjakan luar biasa yang kita perhatikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top