UNIC tampil dengan UNICOUSTIC PODCAST sempena 24 tahun perjalanan seni

UNIC tampil dengan UNICOUSTIC PODCAST sempena 24 tahun perjalanan seni


KUALA LUMPUR: Kumpulan nasyid popular, UNIC terus mengorak langkah dalam industri hiburan Islam tanah air apabila memperkenalkan projek terbaharu mereka, UNICOUSTIC PODCAST, sempena 24 tahun penglibatan dalam bidang seni.

Menurut anggota UNIC, Dr Fitri Haris, projek berkenaan menyaksikan kesemua lagu daripada album pertama kumpulan itu dirakam semula dalam versi akustik yang lebih segar dan dekat dengan pendengar.

Katanya, lebih istimewa, lagu-lagu daripada album You And I See itu turut diterbitkan dalam bentuk podcast yang mengetengahkan pelbagai kisah di sebalik pembikinan album berkenaan.

“Melalui podcast ini, kami berkongsi sejarah awal penubuhan UNIC, cerita di sebalik penghasilan lagu-lagu dalam album pertama serta pengalaman suka dan duka yang dilalui sepanjang memperjuangkan irama nasyid di negara ini.

“Ia turut memuatkan perkongsian daripada anggota UNIC iaitu saya sendiri, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi mengenai perjalanan seni yang kami tempuhi sejak penubuhan kumpulan ini,” katanya.

Projek UNICOUSTIC PODCAST mengandungi 10 episod podcast dan 10 lagu akustik yang diterbitkan hasil sokongan Geran Dana Kandungan Kreatif yang dibawakan oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures dan diterbitkan oleh UNIC Legacy.

Menurut Dr Fitri, inisiatif geran tersebut memberikan impak besar kepada penggiat industri kreatif, khususnya dalam memperkasakan industri nasyid tempatan.

“Kami berharap buah tangan terbaharu ini mampu mengembalikan nostalgia peminat terhadap perjalanan awal UNIC dan menjadi bukti bagaimana kami terus bertahan serta relevan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures serta rakan-rakan media yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha UNIC dalam menyampaikan mesej dakwah dan misi kemanusiaan sejagat.

“Terima kasih atas sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan kami dalam industri ini,” katanya. — UTUSAN.



Source link

OR

Scroll to Top