Kerajaan masih berupaya mengekang kenaikan harga bahan api domestik, dengan RON95 kekal antara yang terendah di dunia ketika ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah tersebut menuntut komitmen fiskal yang besar dan perlu dinilai secara berhemah bagi memastikan kelangsungan kewangan negara dalam jangka sederhana dan panjang.
“Kerajaan pada masa ini masih berupaya mengekang kenaikan harga bahan api domestik, dengan RON95 kekal antara yang terendah di dunia.
“Namun demikian, kita harus akui bahawa langkah ini menuntut komitmen fiskal yang besar dan perlu dinilai secara berhemah demi kelangsungan jangka sederhana dan panjang,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Foto: Fath Riz
Beliau selaku moderatur berkata demikian ketika berucap dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) yang bertemakan Kesatuan Ummah dalam Menghadapi Krisis Geopolitik di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada Ahad.
Selain Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, difahamkan bekas bintang Arsenal dan Real Madrid, Mesut Ozil turut membuat kemunculan sebagai tetamu kehormat bagi forum siri ke-11 itu.
Foto: Fath Riz
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa cabaran ekonomi global yang semakin meruncing, diperburuk oleh ketegangan geopolitik, menuntut Malaysia untuk menilai semula keutamaan ekonomi negara.
Menurut beliau, dalam suasana ketidakpastian yang kian mencabar, kerajaan perlu kekal tangkas dan responsif dalam mengurus risiko jangka pendek, di samping merangka hala tuju ekonomi yang mampan untuk masa depan.
“Cabaran ekonomi global yang semakin meruncing, diperburuk oleh ketegangan geopolitik, menuntut Malaysia untuk menilai semula keutamaan ekonomi negara dalam suasana ketidakpastian yang kian mencabar.
“Meskipun sebahagian tekanan ekonomi berada di luar kawalan kita, kerajaan harus kekal tangkas, responsif dan berpandangan jauh dalam mengurus risiko jangka pendek, di samping merencana hala tuju yang mampan untuk jangka panjang,” ujarnya.
Foto: Fath Riz
Sehubungan itu, Anwar menegaskan keperluan untuk memperkukuh keupayaan negara dalam meramal serta mendepani risiko ekonomi secara lebih strategik dan berfokus.
“Perkembangan semasa menuntut kita untuk memperkukuh keupayaan meramal dan mendepani risiko, sama ada dalam jangka pendek mahupun sederhana, dengan pengurusan ekonomi yang lebih strategik dan berfokus sebagai teras utama dasar negara,” katanya lagi.
Mengulas situasi geopolitik global, beliau turut menekankan bahawa perpaduan umat Islam kini bukan lagi satu pilihan sebaliknya menjadi keperluan mendesak dalam menghadapi pelbagai krisis.
“Kekuatan kita terletak pada kesatuan yang berteraskan prinsip, berpaksikan keadilan dan nilai kemanusiaan sejagat.
“Setiap langkah dan dasar yang diambil harus menjurus kepada matlamat yang jelas menentang segala bentuk penindasan serta mempertahankan hak mereka yang dizalimi, khususnya saudara-saudara kita di Palestin,” ujarnya.
Foto: Fath Riz
Forum itu menampilkan panel penceramah antarabangsa dan tempatan termasuk Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun Necmeddin Bilal Erdogan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Pengarah Islamic Institute for Development and Research (IIDR) Sharif Hasan Al-Banna dan Profesor Madya di Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Khairudin Aljunied.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim






