Pasir kucing bunga kantan raih emas di Bangkok

Pasir kucing bunga kantan raih emas di Bangkok


syazrina@hmetro.com.my

Inovasi pasir kucing mesra alam berasaskan serbuk kayu dan bunga kantan hasil kreativiti pelajar Sekolah Menengah Islam Darul Iman Besut (SMIDI) mencipta kejayaan apabila meraih Anugerah Emas di peringkat antarabangsa di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Kejayaan itu diraih menerusi projek ‘Kantan Clump Cat Litter’ yang dibangunkan dalam pertandingan ‘World Youth Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) Invention Innovation’ 2026 (WYSII 2026), sekali gus mengangkat nama sekolah berkenaan di persada antarabangsa.

Guru pembimbingnya, Rosyafirah Hashim, 37, berkata, inovasi dihasilkan bersama pelajar menerusi pendekatan mesra alam dengan menggunakan bahan buangan.

Menurutnya, idea menghasilkan pasir kucing tercetus daripada usaha mencari penyelesaian terhadap lambakan serbuk kayu dari kilang berhampiran sekolah mereka.

“Sekolah kami terletak berhampiran dengan stor kayu, jadi setiap hari saya melihat pekerja kilang kayu kumpulkan serbuk kayu untuk dibuang.

“Daripada situ, saya fikir cara untuk kurangkan masalah pembuangan bahan terbuang ke alam sekitar.

“Perbincangan bersama pelajar mencetuskan idea inovasi ini, selain mengambil kira isu pencemaran sisa haiwan peliharaan dan penggunaan pasir kucing konvensional yang sukar terurai.

“Kami hasilkan alternatif lebih lestari dengan sumber semula jadi tempatan seperti bunga kantan dan yakin produk ini berimpak tinggi serta berinovasi,” katanya.

Rosyafirah berkata, keunikan produk itu terletak pada campuran serbuk kayu dan serbuk bunga kantan yang mempunyai ciri anti-bakteria serta bertindak sebagai ejen penyahbau semula jadi.

“Selain bersifat biodegradasi, ia kurang habuk serta lebih selamat untuk haiwan peliharaan mahupun pengguna,” katanya.

Menurutnya, semua proses penghasilan dilakukan di makmal sekolah bersama pelajar dengan bahan utama diperoleh daripada kilang kayu itu.

“Cabaran utama mendapatkan formula sesuai supaya pasir habuk kayu boleh berkumpul dengan baik sambil mengekalkan sifat mesra alam.

“Serbuk kayu itu, kami tapis untuk kurangkan habuk bagi mengelak masalah pernafasan.

“Pada masa depan, kami rancang memprosesnya dalam bentuk palet bagi tekstur lebih mesra pengguna,” katanya.

Tambahnya, faktor utama kejayaan itu adalah usaha konsisten, sokongan pihak sekolah dan minat pelajar mendalam dalam bidang STEM.

Dalam pertandingan itu, SMIDI membawa dua kumpulan inovasi terdiri daripada dua guru pengiring dan lapan pelajar bagi mewakili Malaysia.

Kumpulan pertama di bawah bimbingan Rosyafirah dikenali sebagai ‘Team Eco Clump Innovators’ yang dianggotai Muhammad Adam Basri Asan Besri, Muhammad Zahien Ammar Zulfalizam, Tuan Ammar Suhaib Sulaimi, ketiga-tiganya berusia 15 tahun dan Muhammad Adam Rayyan Mohd Amrul, 14.

Manakala, pasukan kedua iaitu ‘Team Brain Boost Crews’ terdiri daripada pelajar tingkatan tiga dibimbing oleh Nur Ainina Syuhada Zulkiflee.

Ia dianggotai Muhammad Aqil Mirza Shuhaipi, Nik Muhammad Afham Mirza Mohd Fareq Wajdi serta Saiyyidah ‘Aeisyah Mohd Redzauddin.

Pertandingan anjuran ‘Malaysia Young Scientists Organisation’ (MYSO) turut menyaksikan penyertaan pelbagai negara termasuk Thailand, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Mexico, Itali, Hong Kong, Turkmenistan dan Kazakhstan.

MYSO sendiri adalah pertubuhan bukan kerajaan yang komited memupuk budaya penyelidikan, inovasi dan STEM dalam kalangan pelajar sekolah rendah hingga universiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top