Ronaldo bangga anak sulung buat penampilan pertama bersama skuad B-15 Portugal

Ronaldo bangga anak sulung buat penampilan pertama bersama skuad B-15 Portugal


Ronaldo Jr (kanan) ketika aksi bersama skuad B-15 Portugal. Foto AFP

BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo meluahkan rasa bangga terhadap anak sulungnya selepas berjaya membuat penampilan pertama bersama skuad bawah 15 Tahun (B-15) Portugal pada Selasa.

Cristiano Ronaldo Jr, 14, yang baru dipanggil menyertai skuad kebangsaan minggu lalu, dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-54 dalam aksi menentang Jepun di Kejohanan Antarabangsa Vlatko Markovic di Croatia.

Portugal mencatat kemenangan bergaya 4-1 dalam perlawanan tersebut.

Sejurus tamat perlawanan, Ronaldo memuat naik ucapan penuh emosi di platform X memuji pencapaian anaknya yang kini mengikuti langkahnya sebagai pemain bola sepak profesional.

“Tahniah atas penampilan pertama bersama @selecaoportugal, anakku. Sangat bangga denganmu!” tulisnya, disertakan beberapa gambar Ronaldo Jr beraksi di padang.

Menariknya, Ronaldo Jr menyarung jersi bernombor 7 iaitu nombor ikonik yang turut digunakan bapanya ketika bermain bersama Manchester United, Real Madrid dan Juventus.

Ronaldo yang kini masih aktif bermain bersama kelab Al-Nassr di Arab Saudi, telah menjaringkan 33 gol dalam 39 penampilan musim ini.

Pemain legenda itu sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bermain bersama anaknya dalam satu pasukan sebelum bersara dan penampilan Ronaldo Jr bersama skuad B-15 Portugal dilihat sebagai langkah awal ke arah impian tersebut.

Ronaldo sendiri membuat penampilan pertamanya bersama skuad senior Portugal pada tahun 2003 ketika berusia 18 tahun dan dijangka menyertai Piala Dunia buat kali keenam tahun hadapan.

Ronaldo Jr bakal mencecah usia 15 tahun bulan depan dan berkemungkinan perlu mempercepatkan perkembangan kariernya jika mahu bergandingan bersama bapanya di atas padang.

Dalam pada itu, ibu kepada Cristiano Ronaldo, Maria Dolores turut hadir menyaksikan aksi cucunya di Croatia dan dilihat berpelukan dengan Ronaldo Jr selepas tamat perlawanan.

Portugal dijadualkan bertemu Greece dan England dalam baki perlawanan kejohanan tersebut.



Source link

OR

Scroll to Top