Ronaldo tidak pentingkan diri, bantu Felix ledak gol sulung

Ronaldo tidak pentingkan diri, bantu Felix ledak gol sulung


BINTANG sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo mempamerkan sikap tidak mementingkan diri apabila membantu Joao Felix menjaringkan gol sulung bersama Al Nassr dalam aksi separuh akhir Piala Super Saudi menentang Al Ittihad.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Hong Kong pada Selasa, kedudukan terikat 1-1 selepas jaringan Sadio Mane disamakan Steven Bergwijn pada separuh masa pertama.

Namun, segalanya berubah pada minit ke-77 apabila Ronaldo yang berada di posisi terbaik untuk meledak memilih untuk melorongkan bola kepada Felix yang tenang menyempurnakan gol kemenangan.

Aksi itu nyata mengejutkan ramai kerana jarang sekali Ronaldo yang sinonim dengan reputasi penjaring berbisa mengambil keputusan sedemikian.

Kemenangan itu membolehkan Al Nassr mara ke final pada Ahad ini untuk menentang sama ada Al Qadisiyah atau Al Ahli meskipun bakal turun tanpa kelibat Mane yang dilayangkan kad merah pada babak pertama.

Untuk rekod, ini adalah kali keenam Al Nassr mara ke pentas final Piala Super Saudi selepas meraih gelaran pada 2019 dan 2020 serta muncul naib juara pada 2014, 2015 dan 2024.

Sejak berhijrah ke Arab Saudi pada 2023, Ronaldo muncul penjaring terbanyak liga selama dua musim berturut-turut dan tidak mustahil mengulanginya musim ini.

Bagaimanapun, impian utama bintang berusia 40 tahun itu adalah merangkul trofi Liga Pro Saudi yang masih belum digenggamnya. Kali terakhir Al Nassr menjulang kejuaraan liga ialah pada 2019.

Untuk mencapainya, skuad kendalian Jorge Jesus itu perlu memecahkan dominasi Al Hilal dan Al Ittihad yang menguasai enam musim terakhir.

Ronaldo setakat ini hanya memiliki satu kejuaraan bersama Al Nassr iaitu Arab Champions Club pada 2023, namun musim ini tekadnya lebih tinggi selepas kelab itu memperkuatkan skuad dengan kehadiran Kingsley Coman dari Bayern Munich.



Source link

OR

Scroll to Top